Buletin
Taqim Zaki jadi pilihan penerbit untuk filem "Motif"


Tarikh disiarkan: 24 September 2019

Taqim Zaki menjadikan aktor Hollywood Matt Damon sebagai idola dan rujukan untuk berlakon watak polis.
Taqim Zaki menjadikan aktor Hollywood Matt Damon sebagai idola dan rujukan
untuk berlakon watak polis.

24 Sep – Tampil membuat debut menerusi filem bergenre thriller misteri terbaru berjudul "Motif", pelakon Taqim Zaki mendedahkan bahawa dia menjadi pilihan utama penerbit dan pengarah untuk menerajui filem tersebut.

"Pada mulanya, saya dihubungi oleh penerbit Awan Kiko untuk hadir ke sesi uji bakat lakonan tertutup bagi watak seorang pegawai polis dalam projek ini.

"Selepas itu penerbit memberitahu bahawa saya diterima untuk watak tersebut walaupun terdapat beberapa orang pelakon ternama yang turut disenaraikan.

"Menurut pengarah, saya dipilih kerana perwatakan saya unik," katanya yang ditemui di majlis sidang media pada malam gala tayangan perdana filem "Motif" di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.


Taqim, yang juga dikenali sebagai Mustaqim Mohamed berkata, itu merupakan kali pertama dia menjayakan watak seorang pegawai polis dan menjadikan aktor Hollywood Matt Damon ("The Bourne Identity") dan Leonardo DiCaprio ("The Great Gatsby") sebagai rujukan utama.

"Sewaktu kami menjalankan penggambaran, kami dipantau dan menerima nasihat daripada pegawai-pegawai polis Unit Kreatif Bukit Aman. Jadi kami diajar mengenai etika-etika polis seperti cara percakapan dan sebagainya," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Taqim turut berasa teruja kerana impiannya untuk berlakon bersama pelakon Sharifah Amani sejak kecil tercapai.

Menurut bekas graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, dia tidak berdepan masalah untuk mencipta keserasian kerana pernah bekerjasama dengan Amani dalam pementasan teater sejak 2011.

Selain itu, dia mengakui berasa selesa sepanjang menjalani penggambaran kerana sikap positif yang ditonjolkan oleh barisan pelakon serta kru produksi yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan kepadanya.

Beralih ke perkembangan lain, Taqim bakal terlibat dalam beberapa projek telefilem terbaru, yang mana salah satunya diarahkan oleh Kabir Bhatia.

Selain itu, dia juga akan terlibat dengan sebuah pementasan teater muzikal anjuran Persatuan Alumni ASWARA berjudul "Gemilang" yang akan dipentaskan pada 13 hingga 15 Disember ini.

Filem "Motif" turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Iedil Dzuhrie Alaudin, Azhan Rani dan Emma Tosh. Ia akan menjengah pawagam bermula 26 September ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Motif (Melayu) (26 September 2019)
Kalla: Hidup Atau Mati (Melayu) (11 Oktober 2018)
CEO (Melayu) (12 Jun 2014)





Ticket Pricing Guide