Buletin
Tarikh filem Siddharth Malhotra "Marjaavaan" ditunda lagi


Tarikh disiarkan: 13 Oktober 2019

Sidharth Malhotra merupakan peneraju utama filem "Marjaavaan".
Sidharth Malhotra merupakan peneraju utama filem "Marjaavaan".

13 Okt – Penerbit filem "Marjaavaan", Bhushan Kumar, sekali lagi telah menangguhkan tayangan filemnya itu bagi memberi ruang kepada tarikh tayangan filem "Bala" pada 7 November depan.

Bhushan yang juga pemilik syarikat produksi T-Series itu mengubah tarikh tayangan filemnya dari 8 ke 15 November serta mengumumkan berita tersebut menerusi akaun media sosial miliknya.

"Saya sudah lama menjalinkan persahabatan dengan Maddock Films dan Dinesh Vijan. Jadi saya telah membuat keputusan untuk menunda "Marjaavaan" ke 15 November 2019 untuk memberi ruang kepada "Bala".

"Saya harapkan yang terbaik buat seluruh kumpulan produksi!" ujar Bhushan menerusi status yang dimuat naik ke laman Twitter miliknya seperti yang dilaporkan oleh Firstpost.

Pada mulanya, filem itu akan ditayangkan di pawagam pada 22 November sebelum Bhushan mengubah tarikh ke 8 November.


Filem "Marjaavaan" dibintangi oleh aktor Sidharth Malhotra sebagai watak Raghu yang bercinta dengan wanita bernama Zoya yang dilakonkan oleh aktres Tara Sutaria.

Walau bagaimanapun, hubungan mereka diganggu oleh watak antagonis, Vishnu, yang dijayakan oleh aktor Riteish Deshmukh.

Filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Rakul Preet Singh, M. Nassar, Shaad Randhawa, Nora Fatehi dan Nushrat Bharucha.

Sementara itu, filem komedi "Bala" diarahkan oleh Amar Kaushik dan dibintangi oleh Ayushmann Khurrana, Yami Gautam, Bhumi Pednekar, Saurabh Shukla, Javed Jaffrey dan Seema Pahwa.

(Sumber foto: Pinkvilla)
(Sumber artikel: Firstpost)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide