Buletin
Tarikh rilis "Saaho" diubah ke tarikh baru


Tarikh disiarkan: 23 Julai 2019


Prabhas kembali ke skrin lebar menerusi filem "Saaho".

23 Jul – Pembikin filem telah mengumumkan pertukaran tarikh tayangan filem aksi thriller "Saaho" ke 30 Ogos menerusi sebuah kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter syarikat produksi UV Creations.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, perkara itu bagi mengelakkan dari ia berlanggar tarikh dengan filem Akshay Kumar "Mission Mangal" dan "Batla House" yang dibintangi John Abraham.

Sebelumnya, filem yang padat dengan aksi lagak ngeri itu sepatutnya ditayangkan pada 15 Ogos bersamaan dengan Hari Kemerdekaan India.

"Kami ingin bawakan kandungan yang terbaik buat para penonton. Jadi kami memerlukan masa bagi menghasilkan kualiti yang baik bagi babak-babak aksi.

"Walaupun kami telah mengubah tarikh yang asalnya pada Hari Kemerdekaan, tetapi kami masih mengekalkannya dalam bulan kemerdekaan dan patriotik," ulas jurucakap kepada penerbit dalam kenyataan tersebut.

Dilabel sebagai salah satu filem besar paling dinanti-nanti pada tahun ini, "Saaho" turut menandakan kembalinya aktor Prabhas ke layar lebar selepas filem "Bahubali".


Selain itu, "Saaho" turut dibintangi oleh aktres Shraddha Kapoor sebagai peneraju utama dan diterbitkan dalam tiga versi iaitu Hindi, Tamil dan Telugu.

Filem arahan Sujeeth itu juga menampilkan barisan pelakon sampingan seperti Jackie Shroff, Neil Nitin Mukesh, Arun Vijay, Lal, Vennela Kishore dan ramai lagi.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Coming Trailer)

Penulis: Nisa Irina