Buletin
Tiger Shroff anggap filem "War" tak lengkap tanpa Hrithik Roshan


Tarikh disiarkan: 16 Julai 2019


Of course J-Lo's happy, she just landed one more rom-com lead.

16 Jul – Segala teka-teki mengenai filem aksi terbaru lakonan Tiger Shroff akhirnya terjawab apabila pembikin filem telah melancarkan treler 'teaser' bagi filem tersebut.

Dilabel sebagai filem paling dinantikan sepanjang tahun ini, filem yang menggandingkan Tiger bersama Hrithik Roshan buat kali pertama itu telah diberi judul "War".

"Saya dan Hrithik kini hampir menamatkan penggambaran dan saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengannya.

"Setiap hari di set mempunyai cabarannya tersendiri bersama Hrithik. Saya amat mengagumi tumpuannya yang teliti dan sempurna terhadap projek ini," ujar Tiger menerusi laporan dari Hindustan Times.

Selain itu, bintang filem "Baaghi 2" tersebut turut memberitahu bahawa filem itu tidak akan lengkap jika dia tidak melakukannya bersama Hrithik.


Tiger menyifatkan agak jarang baginya untuk dapat menemui kolaborasi yang sesuai dengan skrip yang membolehkan mereka menonjolkan potensi masing-masing mengikut cara tersendiri.

Teruja dengan pelancaran 'teaser' itu, Tiger dan Hrithik mengambil peluang untuk mempromosikan filem mereka menerusi laman sosial Twitter dan Instagram.

Sebelumnya, terdapat ura-ura yang mengatakan filem itu berjudul "Fighters" namun pembikin filem telah menafikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, aktres Vaani Kapoor telah diangkat sebagai peneraju wanita utama bagi filem yang padat dengan babak aksi berkenaan.

Diarahkan oleh Siddharth Anand, filem aksi hebat itu akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Oktober tahun ini.

(Sumber artikel: Hindustan Times)

(Sumber foto: Mid-Day)

Penulis: Nisa Irina