Buletin
Tiger Shroff umpama pelengkap filem "War"


Tarikh disiarkan: 15 September 2019


Tiger Shroff dianggap calon aktor terbaik untuk digandingkan bersama Hrithik Roshan.

15 Sep – Pengarah filem aksi terbaru "War", Siddharth Anand, mendedahkan dia tidak akan meneruskan projek itu jika aktor Tiger Shroff tidak bersetuju untuk membintanginya.

Siddharth berkata semasa menulis skrip, dia sudah pun memilih dua orang aktor untuk menggalas watak utama, Tiger dan Hrithik Roshan, yang pernah bekerja dengannya menerusi filem "Bang Bang!" 2014.

"Pilihan pertama saya adalah Hrithik kerana kami sudah mempunyai keserasian. Selepas filem "Bang Bang!", saya mula menulis sesuatu untuknya. Nasib saya baik kerana dia amat menyukai skrip tersebut.

"Dari situ saya tahu, jika Hrithik membintangi filem ini, protégé yang tak lain tak bukan semestinya Tiger. Jika dia tidak bersetuju, sukar untuk saya menyiapkan filem ini," ujarnya menerusi laporan yang dipetik dari India Today.

Menurut pengarah itu lagi, kemungkinan besar dia akan mengubah idea skrip kepada sesuatu yang baru kerana beranggapan tiada siapa yang mampu menggantikan Tiger dalam filemnya.


Di samping itu, Siddharth turut mendedahkan bahawa idea untuk menghasilkan filem itu tercetus ketika dia melancong ke luar negara, di mana dia banyak menghabiskan masa membaca novel-novel terlaris berunsur perisikan.

"War" mengisahkan seorang tentera India, Khalid (Tiger), yang ditugaskan untuk memburu dan menumpaskan seorang ejen senior yang juga mentornya, Kabir (Hrithik), selepas lelaki itu berubah menjadi jahat.

Penggambaran filem itu telah dijalankan di beberapa buah lokasi berlainan seperti Portugal, Italy, Sweden dan Finland bagi memastikan ia setanding filem-filem Hollywood.

"War", yang turut menampilkan aktres Vaani Kapoor, bakal menggegarkan pawagam bermula 2 Oktober depan.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina