Buletin
Trofi AIFFA 2019 jadi pembakar semangat Amerul Affendi


Tarikh disiarkan: 29 April 2019


Amerul Affendi berkata dia hanya berkongsi bakat dan melunaskan amanah yang diberikan pengarah.

‏‏29 Apr - Pelakon Amerul Affendi telah dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem "One Two Jaga" di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 baru-baru ini.

Menurut Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, kejayaan dapat merangkul trofi AIFFA dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus memperjuangkan bakat seninya.

"Saya anggap kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk terus memperjuangkan bakat seni. Saya hanya berkongsi bakat dan melunaskan amanah yang diberikan pengarah. Jika ada yang suka dan menghargainya, pasti saya senang hati," katanya.

Ini merupakan kejayaan kedua pelakon berusia 32 tahun tersebut selepas berjaya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem "Terbaik Dari Langit" di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27).


"Melihat karya yang mungkin dipandang sepi atau dilihat tidak komersial diangkat dan diiktiraf, saya tersenyum bangga. Ia penghargaan buat semua yang bertungkus lumus membawa karya yang baik dan bermanfaat untuk tatapan umum.

"Kejayaan ini adalah kepuasan yang tidak mampu untuk diterjemahkan menerusi perkataan. Pencapaian ini juga saya harap akan menyuntik semangat karyawan untuk terus bangkit berjuang menerusi wadah filem," ujarnya lagi.

Sementara itu, Shahili Abdan atau dikenali sebagai Namron berjaya membawa pulang trofi bagi Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) turut mencatat kejayaan sama di AIFFA 2019.

Walau bagaimanapun, dia tidak dapat hadir ke acara itu dan menganggap kemenangannya cuma diraikan sehari dua namun dia perlu memikul tanggungjawab untuk selama-lamanya.

Namron yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang masih mentah dalam dunia seni turut berharap dapat menghasilkan lagi karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Lebih 100 filem dari 10 negara Asean bertanding dalam sembilan kategori AIFFA 2019 yang berlangsung di Hotel Pullman, Sarawak.

(Sumber foto: Twitter Amerul Affendi)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide