Buletin
Umie Aida terkejut dinobat Pelakon Wanita Terbaik FFM 30


Tarikh disiarkan: 2 April 2019


Umie Aida dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di FFM 30.

2 Apr - Pelakon tersohor tanah air Datin Seri Umie Aida terpaksa menunggu lebih sedekad untuk menyaksikan lakonannya sebagai bomoh dalam filem "Dukun" ditayangkan, namun ia satu penantian yang cukup berbaloi apabila dia dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk watak tersebut.

Pelakon berusia 46 tahun itu menerima anugerah itu pada Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM 30) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

"Saya tidak gementar apabila pencalonan diumumkan. Tetapi apabila berada di atas pentas saya berasa sangat gemuruh," ujarnya.


Aktres itu yang baru sahaja pulang dari bercuti beberapa hari sebelum malam kemuncak, mengakui tidak terfikir langsung mengenai FFM berikutan dia tidak meletak sebarang harapan untuk menang.

"Terdapat 42 buah filem bertanding. Kami tidak tahu siapa Top 5, kriteria apa yang dikehendaki oleh juri, jadi saya tidak letak sebarang harapan."

Kejayaan Umie menyaksikan dia menidakan pencalonan lain dalam kategori sama iaitu Maya Karin, Datin Diana Danielle, Sangeeta Krishnasamy dan Emily Lim.


Umie Aida dalam salah satu babak sebagai bomoh dalam "Dukun".

Ini merupakan trofi kedua Pelakon Wanita Terbaik Umie di FFM dan ketiga keseluruhan. Sebelum ini dia pernah merangkul trofi sama pada FFM 16 menerusi filem "Embun" dan dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM 26 menerusi filem "Sembunyi: Amukan Azazil".

Dalam perkembangan lain, Umie berkata buat masa ini dia tidak akan terlibat dengan sebarang aktiviti lakonan kerana sedang sibuk dengan filem sulung arahannya yang diberi judul "Lelaki Melayu Terakhir" yang dibintangi oleh Remy Ishak.

Judul filem ini dilihat hampir sama dengan judul filem kakaknya iaitu Erma Fatima, "Perempuan Melayu Terakhir" - yang mana menyaksikan Erma berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 - kerana Erma yang menggarap skrip untuk filem pertama arahan Umie.

Penggambaran filem itu akan bermula pada Jun ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)





Ticket Pricing Guide