Buletin
Ummi Nazeera sedia kembali ke dunia lakonan


Tarikh disiarkan: 23 Mei 2019


Ummi Nazeera mahu cabar diri bawa watak berat dan serius setelah kembali ke dunia lakonan.

23 Mei – Setelah sekian lama 'hilang' dari dunia lakonan, pelakon Ummi Nazeera kini bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Menurut laporan yang dipetik dari Kosmo, Ummi terpaksa mengambil keputusan untuk berehat kerana berdepan masalah pendarahan sebanyak tiga kali ketiga proses bersalin pada tahun lalu.

Memandangkan kesihatannya sudah beransur pulih, Ummi bercadang untuk berlakon semula sama ada di kaca televisyen mahupun layar perak.

Ummi mengakui bahawa dia rindu untuk kembali aktif dan beraksi di hadapan kamera kerana ia merupakan sebahagian dari jiwa dan hidupnya.

Bercakap mengenai watak yang ingin dibawanya, Ummi memberitahu bahawa dia sudah lama mengimpikan untuk memegang watak berat dan mencabar.

"Saya memang sudah lama menantikan untuk membawa watak berat dan mencabar. Rasanya sudah lama saya tidak jayakan watak-watak sedemikian rupa.


"Sudah lama saya tidak ekspresikan diri dalam lakonan watak-watak berat dan berunsur serius. Jadi sudah tiba masanya saya berbuat demikian," jelasnya.

Pada bulan lepas, Ummi mula bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. bagi memastikan jadual dan urusan kerjanya berjalan lancar.

Pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin ini telah mula mencipta nama dalam bidang seni sejak berusia 18 tahun.

Kali terakhir Ummi dilihat berlakon adalah menerusi naskhah arahan Umi Salwana Omar berjudul "Gol & Gincu Vol. 2" pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Ummi turut melibatkan diri dengan beberapa program lain seperti "Sepahtu Reunion Live" dan drama radio IKIM FM sempena bulan puasa.

(Sumber foto: Ummi Nazeera Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Gol Dan Gincu Vol. 2 (Melayu) (25 Oktober 2018)
Bisik Pada Langit (Melayu) (21 September 2017)
Penanggal (Melayu) (28 November 2013)