Buletin
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ke Oscar 2020


Tarikh disiarkan: 17 Oktober 2019

Animasi
Animasi "Upin & Ipin" terus mencipta kejayaan demi kejayaan sejak hari pertama
mereka ditayangkan.

17 Oct – Filem animasi popular tanah air iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" telah mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi seleksi penyertaan awal untuk Anugerah Akademi ke-92 (Oscar) 2020.

Filem terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd ini akan bersaing dengan 31 buah filem animasi lain dalam kategori Filem Cereka Animasi Terbaik.

Antara filem antarabangsa lain yang turut dipilih adalah "Frozen II", "Toy Story 4", "How To Train Your Dragon: The Hidden World", "The Lego Movie 2: The Second Part" dan banyak lagi.

Berita terbaru ini menyaksikan studio animasi tempatan ini terus mencapai kejayaan demi kejayaan apabila filem animasi kedua mereka berjaya merangkul anugerah Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa Montreal 2019 (ANIMAZE) di Kanada.

Malah filem itu juga berjaya menjadi finalis bagi dalam kategori Filem Cereka Animasi Terbaik di Festival dan Ekspo Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019 yang akan berlangsung dari 14-15 Disember di Amerika Syarikat.


Sementara itu, "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" turut terpilih untuk ditayangkan di ASEAN Cinema Week di Korea.

Sebanyak 10 buah filem akan ditayangkan pada acara itu dan filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ini menjadi satu-satunya filem berkonsep 3D animasi dan filem dari Malaysia ditayangkan.

Terdahulu filem animasi yang ditayangkan di negara pada Mac lalu telah mendapat kutipan pecah panggung iaitu lebih RM26 juta.

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide