Buletin
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" jadi penanda aras baru animasi tempatan


Tarikh disiarkan: 6 Mac 2019


Menteri Pendidikan, YB Dr. Mazlee bersama Pengarah Urusan Les' Copaque, Haji Burhanuddin Md Radzi,
pengarah dan barisan pelakon "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal".

6 Mac – Sejak filem animasi 3D "Geng: Pengembaraan Bermula" ditayangkan pada tahun 2009, ramai yang tidak sabar mahu menunggu filem animasi 3D kedua pasangan kembar comel "Upin & Ipin" di pawagam.

Kini selepas 10 tahun, Les' Copaque akhirnya tampil dengan filem animasi 3D kedua mereka yang diberi judul "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang bakal menemui penonton di seluruh negara bermula cuti sekolah pada bulan Mac ini.

Filem animasi 3D kedua ini merupakan salah sebuah filem animasi tempatan dengan bajet yang cukup besar di samping memakan masa yang lama untuk dihasilkan.

"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" menelan belanja lebih RM20 juta dan mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.


Malah dalam filem animasi 3D ini juga ia bukan diarahkan oleh seorang pengarah, sebaliknya diarahkan oleh tiga orang pengarah muda iaitu Adam Amiruddin (Pengarah siri "Upin & Ipin"), Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim (Pengarah siri "Puteri") dan Ahmad Razuri Roseli (Pengarah siri "Pada Zaman Dahulu").

Menurut ketiga-tiga pengarah muda ini, ia merupakan satu penghormatan besar buat mereka apabila diberi kepercayaan oleh Haji Burhanuddin Md Radzi dan Hajah Ainon Ariff yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Kandungan Les' Copaque untuk mengarah filem animasi 3D kedua ini.

"Walaupun ini merupakan filem animasi 3D pertama arahan kami, tetapi kami berjaya melakukannya kerana masing-masing sudah mempunyai pengalaman dalam mengarah siri animasi sebelum ini," ujar Adam Amiruddin yang ditemui pada tayangan perdana "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" di GSC Mid Valley, semalam.


Tiga pengarah muda berbakat besar, Adam Amiruddin, Ahmad Razuri Roseli
dan "Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Dalam pada itu, Syed Nufaiz pula berkata, filem animasi 3D ini bakal menjadi penanda aras baru buat animasi tempatan.

"Animasi 3D kedua "Upin & Ipin" ini dihasilkan dalam tempoh lima tahun bukan kerana masalah, sebaliknya kami menggunakan teknologi terkini dan canggih dalam pembikinan animasi jadi kami perlu ambil masa untuk belajar, sekaligus cekap untuk menguasai teknologi itu.

"Apa yang lebih membanggakan adalah animasi 3D ini adalah seratus-peratus hasil kepakaran anak-anak tempatan dari mula hingga ke akhir."

Sementara itu, Ahmad Razuri mengakui bukan mudah untuk sesebuah filem animasi diarahkan oleh tiga pengarah, kerana masing-masing mempunyai visi dan pandangan masing-masing, namun dia bersyukur apabila semuanya berjalan dengan lancar.

"Memang kami mempunyai pendapat berbeza dan tipulah jika kami berkata tidak pernah bergaduh. Apa yang kami lakukan adalah sentiasa berbincang untuk setiap apa yang mahu dibuat kerana setiap seorang daripada kami mempunyai kepakaran masing-masing.

"Bagaimanapun jika kami tidak mendapat kata putus atau bersetuju, kami akan mendapatkan nasihat daripada Hajah Ainon untuk memilih apa yang terbaik."

Lebih menakjubkan adalah skor muzik asal dan runut bunyi untuk filem ini dirakam dalam bentuk orchestra di Boston dan Prague, sekaligus menjadi filem tempatan pertama yang berbuat demikian.

Filem animasi 3D ini dibintangi oleh Asyiela Putri Azhar, Ahmad Mawardi Abdul Rahman, Mohd Amir Asyraf, Fakhrul Razi, Ernie Zakri dan ramai lagi.

"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" akan menemui penonton di seluruh negara pada 21 Mac ini.

Selain Malaysia, ia juga akan turut ditayangkan di beberapa negara jiran seperti Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

Penulis: Ashraf Nasser