Buletin
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" menang anugerah di Kanada


Tarikh disiarkan: 11 September 2019


Animasi "Upin & Ipin" terus cipta kejayaan demi kejayaan di peringkat global.

11 Sep – Filem animasi popular tempatan iaitu "Upin & Ipin" terus mencipta kejayaan apabila filem terbaru mereka iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" telah berjaya merangkul anugerah Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa Montreal 2019 (ANIMAZE).

Acara tahunan ini telah berlangsung pada 29 Ogos hingga 1 September yang lalu.

Kejayaan terbaru ini menyaksikan animasi terbitan Les' Copaque Production terus menjadi filem animasi paling berjaya bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.


Terdahulu, filem yang menelan belanja kos besar iaitu lebih RM20 juta telah berjaya mengutip lebih RM26 juta di pawagam tempatan.

Bagaimanapun jumlah kutipan itu dijangka akan meningkat sekiranya jumlah kutipan di beberapa negara lain yang turut menayangkan filem animasi ini direkodkan.

"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" berkisarkan mengenai pengembaraan terbaru dua kembar seiras Upin, Ipin dan rakan-rakan mereka di Kerajaan Inderaloka di mana mereka bertemu dengan ramai watak-watak dari cerita dongeng tempatan.

Dalam perkembangan lain, Les' Copaque bakal menganjurkan Karnival Upin & Ipin 2019 yang akan berlangsung di MITC Melaka pada 29 November hingga 1 Disember depan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sosial Facebook Les' Copaque.

(Sumber foto: Les' Copaque Facebook)

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide