Usamah Zaid sasar "Ejen Ali The Movie" kutip RM20 juta | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Usamah Zaid sasar "Ejen Ali The Movie" kutip RM20 juta

Penulis: Ashraf Nasser

Pengarah Usamah Zaid bersama CEO Primeworks Studios, penaja-penaja dan barisan pelakon suara untuk "Ejen Ali The Movie".
Pengarah Usamah Zaid bersama CEO Primeworks Studios, penaja-penaja dan barisan
pelakon suara untuk "Ejen Ali The Movie".

24 Okt – Tahun 2019 menyaksikan tahun yang cukup cemerlang buat industri animasi tanah air apabila dua filem animasi tempatan iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2" yang ditayangkan baru-baru ini berjaya mendapat kutipan puluhan juta.

Terbaru, sebuah lagi filem animasi tempatan bakal menemui penonton di layar perak tidak lama lagi iaitu "Ejen Ali The Movie".

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation yang juga merupakan pengarah kepada filem animasi ini iaitu Usamah Zaid Yasin, dia sangat teruja apabila animasi terbitannya akhirnya berjaya ke layar perak selepas siri animasi "Ejen Ali" sudah bersiaran selama dua musim yang mana ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

"Alhamdulillah setelah lebih dua musim bersiaran animasi "Ejen Ali" semakin mendapat sambutan bukan sahaja daripada golongan kanak-kanak, malah orang dewasa juga meminati animasi ini.

"Saya rasa filem "Ejen Ali The Movie" ditayangkan pada tepat pada waktunya kerana tahun ini boleh dikatakan tahun yang cukup cemerlang buat industri animasi tempatan selepas kejayaan dua filem animasi "Upin & Upin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2".

"Diharapkan sambutan positif terhadap filem animasi tempatan akan berterusan untuk filem "Ejen Ali The Movie", dan saya berharap agar filem saya mampu dapat kutipan sekitar RM20 juta," ujarnya yang ditemui pada sidang media "Ejen Ali The Movie" di GSC Mid Valley, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios iaitu Datuk Ahmad Izham Omar turut berkata perkara sama mengenai prestasi cemerlang industri animasi tempatan ketika ini dan berharap "Ejen Ali The Movie" akan turut menyumbang kepada kecemerlangan industri animasi pada tahun ini.

"Tahniah diucapkan kepada Wau Animation di atas karya hebat dan sumbangan mereka yang sekaligus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Kami juga berharap agar peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong filem "Ejen Ali The Movie" yang bakal ditayangkan pada musim cuti sekolah yang akan datang."

Dalam filem ini ia akan mengisahkan mengenai tentang seorang budak sekolah berusia 12 tahun yang direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi yang dikenali sebagai MATA. Bagaimanapun konflik mula timbul Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa IRIS. Dia yang berasa terpinggir memulakan pengembaraan baru demi membongkar kebenaran.

"Ejen Ali The Movie" akan menemui penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 28 November depan.

Cinema Online, 24 Okt 2019

Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Malay) (28 Nov 2019)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan