Buletin
Varun Dhawan bakal lancar kempen "Street Dancer" buat penari jalanan


Tarikh disiarkan: 21 September 2019


Varun Dhawan akan berbincang dengan rakan industri untuk beri bantuan lanjut
kepada penari jalanan.

21 Sep – Aktor Varun Dhawan bakal melancarkan sebuah kempen untuk membantu dan memberi motivasi kepada para penari kurang berkemampuan yang datang dari latar belakang berbeza iaitu "Street Dancer".

Varun berkongsikan berita menarik itu selepas selesai menjalani penggambaran bagi filem terbarunya, "Street Dancer 3D", yang turut menampilkan penari jalanan sebenar dari Uttarakhand, Uttar Pradesh, Gujarat dan Maharashtra.

Menurut laporan dari Bollywood Hungama, dia akan dibantu oleh penerbit Bhushan Kumar, pengarah Remo D'Souza dan isterinya Lizelle D'Souza untuk menjalankan kempen yang bakal diadakan di seluruh negara India.


"Bhushan dan Remo telah bersetuju untuk menderma sedikit sebanyak daripada keuntungan filem kami kepada sebuah dana kebajikan untuk para penari.

"Kebanyakan mereka tidak mempunyai tempat tinggal, jadi wang derma itu akan banyak membantu. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan industri untuk turut memberi bantuan lanjut kepada mereka," ujarnya.

Tambahnya lagi, idea filem itu adalah untuk memperkenalkan penari jalanan negara tersebut dan bakat mereka kepada seluruh dunia dengan cara berkongsi kisah menerusi filem.

"Menari dan muzik merupakan salah satu minat terbesar saya. Saya sangat kagum dengan penari-penari jalanan ini dan saya tahu filem ini tidak akan lengkap tanpa bakat mereka," katanya. Filem "Street Dancer 3D" turut menampilkan pelakon lain seperti Shraddha Kapoor, Prabhudeva dan Nora Fatehi. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 24 Januari 2020.

(Sumber foto: Times of India)

(Sumber artikel: Bollywood Hungama)

Penulis: Nisa Irina