Impian Varun Dhawan berlakon watak tentera tercapai | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Impian Varun Dhawan berlakon watak tentera tercapai

Penulis: Nisa Irina

Varun Dhawan anggap filem biopik Arun Khetarpal sebagai filem paling penting dalam kariernya.
Varun Dhawan anggap filem biopik Arun Khetarpal sebagai filem paling penting dalam kariernya.

15 Oct –Setelah bekerjasama dalam filem "Badlapur" empat tahun lalu, kini aktor Varun Dhawan bakal kembali bersama penerbit Dinesh Vijan dan pengarah Sriram Raghavan dalam sebuah filem biopik perang terbaru.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, filem itu berkisar mengenai Leftenan Kedua Arun Khetarpal, anggota tentera India yang dianugerahkan Param Vir Chakra iaitu penghormatan tertinggi bagi ketenteraan India.

Keberanian Arun Khetarpal, yang berusia 21 tahun, berdepan tentera Pakistan menyebabkan beliau cedera parah dan terkorban semasa Pertempuran Basantar di medan perang Shakargarh dalam Perang Indo-Pakistan 1971.

"Saya berasa kagum ketika mendengar kisah Arun Khetarpal dan teruja filem ini menjadi kenyataan! Saya faham mengapa Dinesh dan Sriram sangat berkeinginan untuk melakukan projek ini.

"Pertemuan dengan adik Arun, Mukesh, membuatkan saya tersentuh. Saya juga mempunyai seorang abang dan saya tidak faham apa yang dia sedang lalui jadi ia merupakan tanggungjawab kami untuk menceritakan kisah ini dengan betul.

"Ini merupakan filem paling penting dalam karier saya dan saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Sriram semula. Saya harap semua kaum India akan berasa bangga apabila menonton filem kami di layar lebar nanti," katanya yang sudah lama menyimpan impian untuk membawa watak tentera.

Dalam pada itu, ini merupakan kali pertama Dinesh akan menjayakan genre filem biopik perang sepanjang kariernya sebagai penerbit dan turut berasa kagum dengan keberanian serta hubungan Arun bersama bapanya, Brigadier ML Khetarpal.

Sebagai persiapan rapi, Sriram pula telah menghabiskan masa selama enam bulan membuat penyelidikan serta menghasilkan skrip filem yang masih belum diberi judul tersebut.

(Sumber foto: The Juice Magazine)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 15 Okt 2019


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan