Buletin
Varun Dhawan cedera di lutut ketika latihan menari


Tarikh disiarkan: 18 Julai 2019


Varun Dhawan bersikap profesional dan masih meneruskan latihan walaupun cedera.

18 Jul – Nasib malang menimpa aktor Varun Dhawan apabila dia cedera di bahagian lutut ketika sedang berlatih menari bagi "Street Dancer 3D".

Varun yang digandingkan bersama Shraddha Kapoor kini sedang menjalani penggambaran bagi babak klimaks dalam filem tersebut.

Dalam pada itu, mereka turut bekerja keras membuat persiapan tarian bersama dengan penari-penari antarabangsa di sebuah studio di Mumbai.

"Dia sedang mempelajari beberapa pergerakan Bhangra yang sukar serta beberapa tarian lain seperti 'Urban' dan 'Street hip-hop'.

"Lututnya terseliuh ketika sedang berlatih bersama Rahul Shetty, Dharmesh dan Tashan yang datang dari United Kingdom. Namun Varun bersikap profesional dan masih ingin meneruskan latihan," ujar satu sumber terdekat.

Seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror, sesi latihan itu berlangsung di Andheri selama enam jam sehari sementara penggambarannya dijalankan di Malad.


Tambah sumber itu lagi, latihan itu adalah persiapan sebelum mereka beraksi di hadapan kamera. Mereka akan dilihat bertanding dengan kumpulan penari dari serata dunia termasuk Africa, Jerman, United Kingdom dan banyak lagi.

Selain Varun dan Shraddha, barisan pelakon yang akan membintangi filem itu ialah Prabhudheva, Nora Fatehi, Sonam Bajwa, Shakti Mohan, Vartika Jha, Dharmesh Yelande, Punit Pathak dan Raghav Juyal.

Filem "Street Dancer 3D" bakal ditayangkan di pawagam pada 24 Januari 2020 bersamaan dengan Hari Republik India.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Filmfare)

Penulis: Nisa Irina