Buletin
Varun Sharma selesa bawa watak komedi


Tarikh disiarkan: 23 Julai 2019


Varun Sharma selesa bawa watak komedi dalam filem.

23 Jul – Dilihat semakin aktif di layar perak, aktor Varun Sharma memberitahu dia bukanlah seorang pelawak, sebaliknya seorang pelakon yang mampu menjayakan watak tertentu.

Tahun ini, Varun akan tampil dalam tiga buah filem komedi yang bakal dirilis tidak lama lagi iaitu "Arjun Patiala", "Khandaani Shafakhana" dan "Chhichhore".

Menurut laporan yang dipetik dari Times of India, Varun berasa teruja dapat melibatkan diri dalam filem-filem tersebut kerana dapat merasai pengalaman berlakon dalam set yang berbeza serta karakter yang berlainan.

"Saya tidak akan berhenti dari melakonkan filem komedi kerana setiap daripadanya adalah berbeza. Saya telah berlakon dalam banyak filem komedi tetapi tiada watak yang berulang.

"Saya juga sudah lama berkeinginan untuk mencuba genre lain tetapi ia tidak bermakna saya akan tinggalkan genre komedi," ujarnya.


Varun mendedahkan dia pernah terlibat dengan pementasan teater di mana dia hanya membawa watak-watak yang serius dan kali pertama melakonkan watak komedi dalam filem debutnya.

Berbicara lebih lanjut, dia berkata membuat penonton ketawa bukanlah sesuatu yang mudah namun ia adalah pengalaman yang indah baginya sebagai aktor.

Oleh yang demikian, dia tidak mahu bersikap terburu-buru untuk membuktikan kepada para penonton bahawa dia mampu membawa watak serius dalam lakonannya.

Dalam perkembangan terbaru, Varun kini sedang menjalani penggambaran bagi sebuah lagi filem komedi seram berjudul "Roohi-Afza" yang menampilkan Janhvi Kapoor dan Rajkummar Rao.

Filem arahan Hardik Mehta itu bakal ditayangkan di pawagam pada 20 Mac 2020.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: Varun Sharma Instagram)

Penulis: Nisa Irina