Buletin
Wan Hanafi Su nasihat pelakon muda terus cari ilmu


Tarikh disiarkan: 11 November 2019

Wan Hanafi Su tidak setuju populariti seseorang artis diukur berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial.
Wan Hanafi Su tidak setuju populariti seseorang artis diukur berdasarkan jumlah
pengikut di laman sosial.

11 Nov– Sudah berdekad bergelar sebagai anak seni, pelakon veteran tersohor tanah air Wan Hanafi Su menasihati pelakon-pelakon muda supaya tidak mudah berpuas hati dengan populariti yang dikecapi dalam dunia seni, sebaliknya mahu mereka terus menimba ilmu bagi mantapkan lagi kualiti lakonan mereka.

"Saya perhatikan, beberapa pelakon muda memang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam lakonan. Cuma saya tidak berani memetik nama kerana enggan menyinggung mana-mana pihak.

"Biarpun mempunyai potensi untuk terus berkembang, saya berharap masing-masing tidak terikut-ikut dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Lebih penting, jangan cepat berasakan diri sudah 'menjadi', atau bergelar bintang dan terkenal.

"Mereka perlu tanam sikap ingin belajar dan menggali ilmu dalam diri kerana lakonan bukan bidang yang boleh diajar," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pelakon "Lelaki Harapan Dunia" ini lagi, selain berlakon faktor lain yang perlu diambil kira oleh pelakon muda adalah disiplin sepanjang terlibat dengan sesuatu projek.

Dalam pada itu, pelakon berusia 69 tahun ini turut meluahkan rasa kurang senangnya dengan keadaan ketika ini yang menilai populariti seseorang artis itu berdasarkan jumlah pengikut di media sosial dan bukan berdasarkan kualiti lakonan.


Dalam perkembangan lain, Wan Hanafi Su bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "Garang" yang berkisarkan mengenai semangat juang golongan kelainan upaya.

Selain Wan Hanafi Su, ia turut dibintangi oleh Jalil Hamid, Ahmad Maembong, Adam Lee, Chacha Maembong, Pablo Amirul dan ramai lagi.

Filem terbitan Sakti Films Sdn Bhd akan menemui penonton di seluruh negara bermula 5 Disember ini.

(Sumber foto: Astro Gempak)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Lelaki Harapan Dunia (Melayu) (27 November 2014)
Garang (Melayu) (5 Disember 2019)
Polis Evo 2 (Melayu) (22 November 2018)





Ticket Pricing Guide