"Warkah" sebuah naskhah mampu beri inspirasi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Warkah" sebuah naskhah mampu beri inspirasi

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Opie Zami bersama Dr. Azlan dan barisan pelakon "Warkah".

8 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial atau lebih dikenali sebagai PERKESO sebelum ini telah banyak melakukan pesanan khidmat masyarakat dalam semua medium seperti radio, iklan di tv, jelajah dan filem pendek dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai fungsi pertubuhan itu.

Namun kini, PERKESO mengambil satu lagi langkah baru apabila mula menceburkan diri dalam dunia perfileman pula, dengan menerbitkan sebuah filem yang diadaptasi dari kisah sebenar salah seorang penerima bantuan daripada PERKESO yang diberi judul "Warkah".

Menurut penerbit eksekutif PERKESO iaitu Dr. Azlan Darus, idea untuk menghasilkan filem ini tercetus selepas Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato' Aziz Mohammed menerima sepucuk surat oleh seorang remaja yang menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas bantuan dalam membantu kehidupan keluargannya hingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajarannya.


"Sebelum ini pihak kami sudah banyak membuat pesanan khidmat masyarakat dalam pelbagai medium dan kali ini kami mahu teruskan usaha ini dengan menghasilkan sebuah filem pula. Tujuan utama penghasilan filem ini adalah mahu memberi inspirasi dan kesedaran kepada masyarakat yang masih lagi ramai tidak tahu mengenai manfaat PERKESO bagi pekerja yang mempunyai caruman di PERKESO," ujarnya yang ditemui selepas tayangan "Warkah" di mmCineplexes eCurve, semalam.

Tambah Azlan lagi, pihaknya tidak memikirkan langsung soal keuntungan untuk filem ini kerana jumlah kutipan bukanlah sasaran utama mereka, sebaliknya dia mahu filem ini ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi pihak PERKESO kami tidak mengharapkan langsung kutipan pecah panggung kerana objektif utama kami dalam menghasilkan filem ini adalah memberi kesedaran kepada pencarum menerusi filem ini. Umum mengetahui kemalangan maut di negara kita sangat tinggi jadi dengan adanya filem ini kami berharap ia dapat beri kesedaran dan paling utama sekiranya statistik jumlah kemalangan dapat turun pada tahun hadapan ia merupakan 'keuntungan' buat pihak kami."

Dalam pada itu, pengarah filem "Warkah" iaitu Opie Zami pula nyata berbesar hati apabila dapat peluang untuk bekerjasama dengan PERKESO dalam menghasilkan sebuah naskhah yang cukup menyentuh hati.

"Saya berasa amat berbesar hati apabila diberi peluang untuk menghasilkan sebuah naskhah menyentuh hati ini. Ia bukanlah satu tugas mudah kerana saya perlu pastikan skrip dan keseluruhan filem ini dihasilkan dengan baik sekali."

Opie turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila berjaya mendapat barisan pelakon hebat tanah air seperti Namron, Syazwan Zulkifly selain pelakon baru seperti Mohd Wafiy, Puteri Rayyana Rayqa dan Isyariana yang memberikan komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran.

"Warkah" berkisarkan mengenai seorang remaja Ikmal yang merupakan seorang pelajar cemerlang terpaksa berdepan pelbagai dugaan selepas bapanya Kamil ditimpa kemalangan yang menyebabkan lumpuh seluruh badan.

Filem terbitan PERKESO bersama Opyglobal Pictures ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 15 Ogos ini.

Cinema Online, 08 Ogos 2019

Filem Berkaitan:
Warkah (Malay) (15 Aug 2019)


Waktu Tayangan