Buletin
"War" naskhah pertama difilemkan di Bulatan Artik


Tarikh disiarkan: 19 Julai 2019


Tiger Shroff dan Hrithik Roshan digandingkan buat kali pertama dalam filem.

19 Jul – Filem "War" yang dibintangi oleh Tiger Shroff dan Hrithik Roshan merupakan filem pertama yang penggambarannya dijalankan di Bulatan Artik, Finland.

"Dari awal lagi kami ingin memberi penonton filem aksi yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Filem kami mempunyai aksi lagak ngeri kereta yang difilemkan di atas ais.

"Penggambaran itu dijalankan di Finland, iaitu di Bulatan Artik dan pihak produksi memberitahu bahawa filem ini adalah yang pertama dibikin di kawasan tersebut," ujar pengarah Siddharth Anand.

Menurut Siddharth lagi, Tiger dan Hrithik telah bersetuju untuk melakonkan aksi lagak ngeri yang bahaya dari awal sejak mereka menerima tawaran filem tersebut.


Seperti yang dilaporkan menerusi India Today, pihak produksi mendapat bantuan daripada pengarah filem aksi Hollywood, Paul Jenning, bagi menjayakan babak di atas ais itu.

Paul Jenning pernah menjayakan beberapa projek besar termasuk "The Dark Knight" yang dibintangi Christian Bale, "San Andreas" yang menampilkan Dwayne Johnson, filem Tom Cruise "Jack Reacher" serta "Game of Thrones".

Dilabel sebagai filem aksi paling dinanti-nanti bagi tahun 2019, filem "War" menandakan gandingan debut antara Tiger dan Hrithik di layar lebar.

Baru-baru ini, pembikin telah melancarkan treler 'teaser' filem tersebut yang membuatkan penonton berasa teruja menanti tayangan filem tersebut.

Diterbitkan oleh Yash Raj Films, "War" turut dibintangi oleh Vaani Kapoor dan akan dirilis pada 2 Oktober 2019 dalam versi Hindi, Tamil dan Telugu.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: Hamara Photos & Masala)

Penulis: Nisa Irina