Buletin
Watak pewira negara tarik perhatian John Abraham


Tarikh disiarkan: 6 Ogos 2019


John Abraham meluangkan masa bersama DCP Sanjeev Kumar Yadav untuk mendalami wataknya.

6 Ogos – Bintang filem "Batla House", John Abraham telah mendedahkan sebab mengapa dia telah bersetuju untuk menerajui filem berkonsepkan patriotik tersebut.

Seperti yang dilaporkan menerusi Times of India, John memberitahu bahawa dia ingin mencuba genre patriotik kerana tertarik dengan individu atau watak yang berkhidmat untuk negara.

Filem yang diangkat dari kisah benar arahan Nikkhil Advani itu menampilkan John sebagai watak DCP Sanjeev Kumar Yadav, anggota polis Delhi Special Cell yang mengetuai Operasi Batla House.

Walaupun dilihat sudah biasa menjayakan watak anggota polis dalam filem-filem sebelumnya, namun kali ini John perlu menggandakan latihannya, termasuk meluangkan masa bersama DCP itu sendiri.


"Saya telah bertemu dengan Sanjeev Kumar Yadav. Saya berpeluang untuk meluangkan masa bersama beliau untuk memahami hubungan beliau bersama isteri.

"Saya juga ingin memberi penghargaan kepada Ritesh Shah (penulis) kerana telah menghasilkan sebuah skrip yang hebat. Watak-watak sebenar dan apa yang ditulis oleh Ritesh selaras antara satu sama lain," katanya.

Operasi itu berlaku pada 19 September 2008 di mana anggota polis Delhi menembak mati dua orang individu yang didakwa sebagai ahli kumpulan pengganas Mujahideen India.

Mereka dituduh terlibat dengan siri pengeboman yang berlaku di Jaipur, Bangalore, Ahmedabad dan Delhi. Dua individu lagi telah ditahan sementara seorang lagi terlepas dan berjaya ditangkap pada Februari 2018.

Dalam pada itu, laporan baru-baru ini menyatakan dua yang tertuduh, Ariz Khan dan Shehzad Ahmad telah memfailkan rayuan untuk menundakan tayangan filem tersebut sehingga selepas perbicaraan.

Rayuan itu difailkan atas tujuan mengelakkan perbicaraan itu bersifat prejudis memandangkan apa yang ditayang dalam filem hampir serupa dengan situasi sebenar operasi berkenaan.

"Batla House" dijadual untuk ditayangkan pada 15 Ogos ini, bersamaan dengan Hari Kemerdekaan India.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: GQ India)

Penulis: Nisa Irina