Buletin
"Wira" papar aksi setaraf Hollywood


Tarikh disiarkan: 13 November 2019

Adrian Teh bersama penerbit, penaja dan barisan pelakon "Wira".
Adrian Teh bersama penerbit, penaja dan barisan pelakon "Wira".

13 Nov – Selepas kejayaan besar menerusi filem aksi ketenteraan "Paskal The Movie", pengarah dan penerbit Adrian Teh kembali dengan sebuah filem aksi terbaru berjudul "Wira" yang dikatakan bakal menjadi penanda aras baru buat filem aksi tempatan.

Perkara itu berjaya direalisasikan oleh Adrian apabila babak aksi yang ditampilkan dalam filem terbarunya boleh dikatakan setaraf dengan filem aksi Hollywood selepas mendapat sentuhan daripada pelakon yang juga koreografer aksi terkenal Indonesia iaitu Yayan Ruhian.

Menurut Adrian, untuk filem "Wira" dia mahu pastikan aksi yang ditampilkan lebih baik daripada filemnya terdahulu dan tidak kisah untuk mengeluarkan kos besar untuk pastikan ia berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Untuk filem ini, saya 'push' seluruh produksi dari diri saya sendiri, pelakon, sehinggalah barisan kru produksi untuk beri yang terbaik kerana saya mahu pastikan aksi yang ditampilkan dalam filem ini sesuatu yang belum pernah dihasilkan oleh mana-mana filem tempatan sebelum ini.


"Kami sanggup melabur banyak bajet membabitkan babak aksi. Malah kami juga berbesar hati apabila bintang aksi terkenal Indonesia yang sudah menempa nama di Hollywood iaitu Yayan Ruhian bersetuju untuk turut terlibat dalam filem ini," ujarnya yang ditemui pada sidang media selepas tayangan filem "Wira" di GSC Mid Valley, semalam.

Setiap pelakon juga perlu menjalani latihan hampir empat bulan sebelum penggambaran bermula di mana setiap hari mereka mempunyai kelas latihan dari pagi hingga lewat petang.

Malah untuk memastikan setiap pelakon berada dalam tahap terbaik, Adrian juga mengawal permakanan mereka dengan menyediakan makanan berkhasiat sahaja.

Filem ini berkisarkan mengenai seorang bekas komando iaitu Leftenan (Bersara) Hassan pulang ke kampung halamannya bagi menyelesaikan masalah keluarganya dan penduduk lain daripada kawalan Raja.

Ia dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Dain Said, Ismi Melinda, Dato' Hilal Azman, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

"Wira" yang menelan belanja lebih RM8 juta bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 21 November ini.

Seperti yang dilaporkan oleh Cinema Online sebelum ini, "Wira" adalah permulaan kepada 'cinematic universe' yang berkisarkan mengenai wira-wira tempatan yang tak didendang. Malah kejutan juga menanti penonton.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Wira (Melayu) (21 November 2019)
Paskal The Movie (Melayu) (27 September 2018)





Ticket Pricing Guide