Buletin
"Wira" permulaan 'cinematic universe' kisah wira-wira tempatan


Tarikh disiarkan: 8 Mei 2019


Adrian Teh mahu lebih fokus dalam menghasilkan filem-filem aksi yang
mengangkat kisah hero tidak didendang.

8 Mei – Setelah filem "Paskal The Movie" arahan Adrian Teh berjaya mencetuskan fenomena apabila mendapat sambutan luar biasa daripada penonton dan menjadi filem pecah panggung, Adrian bakal kembali dengan filem padat dengan aksi terbarunya yang diberi judul "Wira".

Menurut Adrian, dia bersama pihak produksi serta para pelabur telah merancang untuk menghasilkan sebuah 'cinematic universe' berkisar tentang wira-wira tempatan yang tak didendang.

"Filem "Wira" adalah introduksi kepada 'cinematic universe' yang bakal kami hasilkan. Filem ini akan mempunyai mesej tersembunyi yang akan didedahkan menerusi babak pasca kredit," ujarnya yang ditemui di lokasi penggambaran "Wira" di Sentul Depot, Sentul West KL.

Sebelum ini Adrian hanya membikin filem-filem bergenre komedi, drama romantik serta seram. Kebanyakan filem komedi yang dihasilkan ditayang di Singapura.

Selepas kejayaan filem "Paskal The Movie", Adrian menjelaskan bahawa dia mahu lebih fokus dalam menghasilkan lebih banyak filem aksi.


Dalam pada itu, Adrian berkata dia perlu berdepan dengan beberapa cabaran dalam proses pembikinan naskhah ini, termasuk apabila peneraju utama, Hairul Azreen putus ligamen kakinya ketika melakukan satu babak aksi.

"Pada mulanya kami perlu mengeluarkan kos sebanyak RM15,000 bagi menanggung masalah kebocoran paip di set penggambaran kerana pihak pengurusan tidak mahu bertanggungjawab."

"Satu lagi cabaran adalah perancangan kami untuk melakonkan lagak aksi ngeri yang sebelum ini kami tidak mampu buat. Babak dimana Hairul perlu lakonkan aksi pergaduhan termasuk terjun dari tingkat dua sahaja mengambil masa tiga hari untuk dihasilkan," jelasnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai kemalangan itu, Adrian mengakui dia berasa agak gementar kerana memikirkan masa yang singkat untuk menyiapkan projek itu di samping tempoh untuk kaki Hairul benar-benar pulih.

Bagaimanapun dia memuji semangat dan komitmen tinggi yang ditonjolkan oleh pelakon itu yang mahu teruskan juga penggambaran walaupun dalam keadaan cedera.

"Wira" berkisarkan mengenai seorang bekas tentera bernama Hassan yang membawa diri dan menyertai tentera kerana tidak sanggup melihat keluarga serta orang sekelilingnya dikawal oleh Raja. Hassan kembali ke pangkuan keluarga setelah berkhidmat untuk negara dan menyelesaikan hutang adiknya atas kekalahan pertandingan MMA yang dianjurkan Raja.

Filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, pelakon Indonesia Ismi Melinda, Dato Hilal Azman dan Josiah Hogan, Dain Said, Yayan Ruhian, Henley Hii dan ramai lagi.

"Wira" dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada hujung tahun ini.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Wira (Melayu) (Undated)