Yayan Ruhian bantu pelakon "Wira" kuasai seni bela diri | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Yayan Ruhian bantu pelakon "Wira" kuasai seni bela diri

Penulis: Nisa Irina


Yayan Ruhian akui berasa bangga dapat bekerjasama dengan pihak produksi dan barisan
pelakon hebat bagi menjayakan filem "Wira".

9 Mei – Pengarah Adrian Teh serta pihak produksi filem aksi terbaru "Wira" telah mendapatkan khidmat latihan koreografi seni bela diri dari pakar bela diri serta pelakon aksi tersohor Indonesia iaitu Yayan Ruhian.

Yayan yang sebelum ini terkenal menerusi filem "The Raid: Berandal" dan "Star Wars: The Force Awakens" berkata dia bersama empat orang lagi dari Indonesia telah membuat persiapan selama dua bulan bagi babak-babak pertarungan bagi filem "Wira".

Menurut Yayan, dia perlu meniliti skrip filem terlebih dahulu supaya dapat menggambarkan jenis seni bela diri yang sesuai dengan jalan cerita yang diharapkan oleh pengarah.

"Terdapat beberapa jenis seni bela diri yang ditonjolkan menerusi watak-watak dalam filem ini. Sebagai contoh, watak dua orang perempuan lebih kepada 'mixed martial arts' (MMA) dan pelakon utama pula perlu menguasai pelbagai seni bela diri seperti silat dan MMA.

"Jadi pihak kami akan cuba menggabungkan bermacam-macam teknik yang sesuai untuk rakan-rakan pelakon lakonkan suatu babak pertarungan itu," ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran "Wira" di Sentul Depot baru-baru ini.

Pelakon ini turut memuji lakonan peneraju utama Hairul Azreen yang disifatkan sebagai profesional dan luar biasa serta berharap Hairul menjadi bintang aksi dalam industri filem tempatan.

Bercakap mengenai kecederaan yang dialami Hairul, Yayan berkata pihak produksi telah mencuba sehabis baik untuk mengelakkan apa-apa kemalangan dari berlaku semasa membuat persiapan dan sesi latihan.

"Wira" berkisarkan mengenai seorang bekas tentera bernama Hassan yang membawa diri dan menyertai tentera kerana tidak sanggup melihat keluarga serta orang sekelilingnya dikawal oleh Raja. Hassan kembali ke pangkuan keluarga setelah berkhidmat untuk negara dan menyelesaikan hutang adiknya atas kekalahan pertandingan MMA yang dianjurkan Raja.

Selain Yayan, filem ini turut menampilkan Hairul Azreen, Fify Azmi, pelakon Indonesia Ismi Melinda, Dato Hilal Azman dan Josiah Hogan, Dain Said, Henley Hii dan ramai lagi.

"Wira" dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada hujung tahun ini.

Sementara itu, selain "Wira" Yayan juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem terbitan Malaysia iaitu sebuah filem epik "Mat Kilau" arahan Syamsul Yusof tidak lama lagi.

Cinema Online, 09 Mei 2019

Filem Berkaitan:
Wira (Malay) (21 Nov 2019)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan