Buletin
Yusof Kelana akan teruskan biopik "Mahathir: The Journey"


Tarikh disiarkan: 14 November 2019

Pengarah kreatif filem "Mahathir: The Journey" Yusof Kelana hadir di majlis pelancaran filem tersebut di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Pengarah kreatif filem "Mahathir: The Journey" Yusof Kelana hadir di majlis
pelancaran filem tersebut di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

14 Nov – Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media Group, Yusof Kelana memberitahu projek filem biopik "Mahathir: The Journey" masih akan diteruskan walaupun tidak mendapat persetujuan daripada sesetengah pihak.

"Kita sudah memulakan projek filem ini kira-kira tujuh bulan lalu dan skrip filem tersebut melalui proses rombakan sebanyak 12 kali sebelum mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Apabila PMO telah memberikan kebenaran, barulah kita lancarkan filem ini dan kemudian barulah kesemua watak terlibat akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

"Walaupun mungkin akan ada yang tidak bersetuju, kita akan teruskan projek ini kerana setiap watak mempunyai peranan dalam perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Filem mengenai kehidupan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu telah dilancarkan oleh penerbit dan pengarah filem terkenal Datuk Yusof Haslam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, pada Isnin.


Pada Selasa, anak Perdana Menteri iaitu Datin Paduka Marina tampil membuat kenyataan bahawa dia bersama ahli keluarga tidak mengetahui mengenai filem tersebut.

"Keluarga saya lebih suka tiada sesiapa menghasilkan filem, filem biografi, muzikal, kartun atau apa sahaja mengenai kami kerana ia memalukan. Jika ada juga, tolong jangan bagi kami menontonnya," tulis Marina menerusi akaun Twitter miliknya.

Bagi mengulas kenyataan Marina, Yusof yang turut bertindak sebagai pengarah kreatif filem itu berkata, ia dihasilkan untuk menceritakan perjuangan Tun Dr Mahathir dan watak Marina diperlukan kerana dia merupakan sebahagian keluarga tokoh politik tersebut.

Filem itu dibintangi oleh Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Siti Hasmah), Afique Hussain (Dato' Seri Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Hilal Azman (Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq) dan ramai lagi.

Filem "Mahathir: The Journey" yang diarahkan oleh Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan, menyingkap kehidupan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, filem itu dijadual untuk ditayangkan pada Julai 2020, bersamaan hari ulang tahun kelahiran Tun M.

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide