Buletin
Zara Zya dan Hafreez Adam belum tentukan tarikh kahwin


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Zara Zya dan Hafreez Adam mula bercinta sejak 2017.

12 Jun – Pelakon Zara Zya dan Hafreez Adam bercadang untuk mengakhiri zaman bujang mereka namun masih belum menentukan tarikh yang sesuai.

Menurut laporan dari HarianMetro, kedua-dua pelakon itu terlalu sibuk dengan kerjaya lakonan dan tidak bercadang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata jadual kerja yang berbeza menjadi kekangan buat mereka buat masa ini.


Pelakon drama bersiri "Pia" ini akui dia tidak berani untuk menentukan tarikh atau tahun untuk mereka menamatkan zaman bujang.

"Saya tahu, ramai peminat yang inginkan kami cepat-cepat melangsungkan perkahwinan. Namun, banyak aspek yang perlu diberi perhatian kerana ini membabitkan kehidupan saya dan Hafreez.

"Saya tak mahu kalau terlalu terburu-buru, banyak benda yang akan terlepas pandang. Selain sibuk kerja, kami pun sibuk mengumpul wang sebelum menamatkan zaman bujang," katanya.

Bagaimanapun, dia berterima kasih atas segala doa yang dikirimkan oleh para peminat menerusi media sosial supaya jodoh mereka kekal ke jinjang pelamin.

Tambah Zara lagi, keluarga kedua-dua belah pihak meminta untuk mereka mengikat tali pertunangan terlebih dahulu sebelum melangsungkan pernikahan.

Pasangan ini pernah menerajui drama "Mona Lisa" pada 2017 dan sejak itu mereka semakin rapat dan mula menjalin hubungan cinta.

Baru-baru ini, Hafreez telah memuat naik foto bersama keluarga, Zara serta rakan-rakan yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-29 pada 10 Jun di laman Instagram.

(Sumber foto: Zara Zya Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Rembat (Melayu) (8 Oktober 2015)