Buletin
Zainal Abidin 'terpikat' untuk nyanyikan OST "Suatu Ketika"


Tarikh disiarkan: 2 Ogos 2019


Datuk Zainal Abidin turut menyampaikan lagu OST "Suatu Ketika" berjudul "Ayuhlah"
ketika perlancaran berlangsung.

2 Ogos – Penyanyi lagenda tanah air Datuk Zainal Abidin buat pertama kalinya telah bersetuju untuk menyanyikan lagu runut bunyi atau OST untuk filem tempatan iaitu "Suatu Ketika" berjudul "Ayuhlah".

Mengakui bukanlah seorang peminat filem-filem tempatan, Zainal berkata dia 'terpikat' dengan filem itu kerana mesej positif yang ingin disampaikan.


"Sejujurnya saya bukanlah seorang peminat filem tempatan tetapi apabila pihak produksi "Suatu Ketika" bertemu dengan saya dan menceritakan mengenai filem ini termasuk menayangkan beberapa babak dalam filem ini, saya sangat tertarik.

"Ia sebuah filem yang sangat bagus kerana ia mempunyai mesej-mesej positif selain memaparkan semangat perpaduan di kaum di Malaysia. Saya seorang yang sangat mengutamakan seni artistik, jadi wang bukanlah jadi pengukur mengapa saya terlibat dalam filem ini sebaliknya filem digarap dengan begitu baik sekali membuatkan saya mahu terlibat juga dalam karya ini," ujarnya yang ditemui pada majlis perlancaran runut bunyi "Suatu Ketika" di Red Box, Gardens KL semalam.

Selain Zainal, seorang lagi penyanyi berbakat besar iaitu VIONA turut terlibat dalam lagu kedua runut bunyi filem ini yang diberi judul "Senja".


Pengarah Prakash Murugiah, Datuk Zainal Abidin, VIONA bersama barisan pelakon utama "Suatu Ketika".

Dalam pada itu, pengarah filem Prakash Murugiah meluahkan rasa bersyukurnya apabila perjuangannya bersama produksi untuk menerbitkan filem ini akhirnya tercapai juga.

"Ia satu perjalanan yang cukup panjang buat kami. Idea asal untuk menghasilkan filem ini tercetus kira-kira lapan tahun lalu, namun kami berdepan kesukaran dan cabaran dalam tempoh enam tahun untuk menyakinkan pihak tertentu untuk terlibat dalam filem ini tetapi gagal.

"Bagaimanapun kami tidak mudah putus asa dan akhirnya kami berjaya juga mendapat sokongan daripada beberapa pihak termasuk FINAS dan MDEC yang mahu filem ini direalisasikan."

Berlatarkan pada tahun 50an, ia berkisarkan mengenai sekumpulan anak muda yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum cinta kepada sukan bola sepak. Mereka memberi inspirasi kepada orang-orang di sekitar mereka untuk mempercayai bahawa walaupun biasa, dengan semangat dan jati diri, ia boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

"Suatu Ketika" dibintangi oleh pelakon hebat seperti Namron, Pekin Ibrahim, Naza Manas, Azlan Raihan, Lim Xuan dan ramai lagi.

Filem ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 12 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Suatu Ketika (Melayu) (12 September 2019)