Buletin
"Zero" punca hubungan Shah Rukh Khan dan Aanand L Rai retak?


Tarikh disiarkan: 16 Mei 2019


Shah Rukh Khan meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan filem "Zero".

16 Mei – Bintang terkenal Shah Rukh Khan dan pengarah Aanand L Rai dikatakan tidak lagi bertegur akibat filem "Zero" gagal dapat kutipan pecah panggung tahun lepas.

Sebelum ini, mereka ada merancang untuk bekerjasama dalam beberapa buah projek baru selepas filem "Zero" namun tidak menjadi kerana hubungan mereka tidak lagi baik seperti dahulu.

Menurut laporan dari HindustanTimes, Shah Rukh Khan yang terkejut dengan kegagalan filem "Zero" dikatakan menyalahkan Aanand sepenuhnya atas perkara itu.

Atas sebab kecewa, aktor tersebut menangguhkan semua projek terbarunya termasuk filem ketiga francais "Don".


Laporan sumber lain juga mengatakan Shah Rukh Khan telah menarik diri dari projek filem biopik arahan Rakesh Sharma yang sepatutnya memulakan proses penggambaran pada awal tahun ini.

"Untuk kali ini saya tak rasa mahu meneruskannya. Saya juga akan meluangkan masa ini untuk menonton filem, membaca skrip dan buku," luah aktor tersebut.

Bagaimanapun, terdapat sumber yang menafikan bahawa kedua-dua pengarah dan aktor itu bermasam muka, malah hubungan mereka masih kekal baik.

Semasa mempromosikan filem tersebut di Festival Filem Antarabangsa Beijing, Shah Rukh Khan mengakui filem "Zero" kurang mendapat sambutan di India.

"Mungkin saya silap membikin filem, mungkin cara penceritaan saya kurang tepat jadi saya berasa agak khuatir dengan penerimaan filem ini dalam kalangan penonton di sini," ujarnya.

Seorang rakan Shah Rukh Khan berkata selepas tayangan "Zero", dia tidak rasa aktor itu mahu berjumpa dengan Aanand untuk meneruskan projek terbaru yang pernah dijanjikan suatu ketika dahulu.

"Zero" telah dihasilkan menggunakan dana yang tinggi, namun ia gagal untuk mencapai sasaran pecah panggung. Filem yang turut dibintangi oleh Katrina Kaif dan Anushka Sharma itu menampilkan Shah Rukh Khan membawa watak sebagai orang kerdil.

(Sumber foto: DB Post)

Penulis: Nisa Irina