Buletin
Zizan Razak mahu jadi artis serba boleh


Tarikh disiarkan: 12 September 2019


Zizan Razak mahu orang ramai ubah persepsi terhadap pelawak
berlakon watak serius dan berat.

12 Sep – Pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara popular Zizan Razak memberitahu dia mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap dirinya yang lebih dikenali sebagai pelawak semata-mata sebaliknya mahu dikenali sebagai seorang artis serba boleh.

"Sebenarnya saya mahu dikenali sebagai pelakon yang bagus dan bukan sekadar artis komedi semata-mata.

"Saya juga impi menjadi artis serba boleh seperti Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang mampu melakonkan apa saja watak dalam lakonan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Pelakon "Abang Long Fadil" ini berkata dia pernah membawa watak berat sebelum ini tetapi berasa kesal apabila ada pihak mempertikaikan kredibilitinya untuk berlakon watak sedemikian.

"Ada pihak yang tidak percaya dengan saya. Saya berharap pihak terbabit lebih berfikiran terbuka dalam perkara ini. Sebagai contoh, pelawak terkenal Allahyarham Harun Salim Bachik mampu buat saya menangis ketika menonton lakonannya sebagai badut sebelum ini."


Berikutan itu dia berharap selepas ini orang ramai dapat mengubah persepsi yang salah mengenai pelawak tidak mampu jayakan watak berat atau serius.

Dalam perkembangan terbarunya, Zizan bakal muncul dengan sebuah telefilem terbaru berjudul "Kerusi Kecil" arahan pengarah popular Ghaz Abu Bakar.

Zizan berkata dia bersetuju untuk membintangi telefilem itu kerana mahu bekerja dengan Ghaz selain dapat berehat di kampung halamannya susulan penggambaran dijalankan di Terengganu.

Tambahnya lagi, apa yang lebih menarik adalah naskhah ini merupakan projek drama serius pertamanya.

Selain telefilem, Zizan juga bakal muncul dengan filem aksi komedi terbarunya berjudul "Bulan dan Pria Terhebat" bergandingan dengan Zahirah MacWilson yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

(Sumber foto: Zizan Razak Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: