Buletin
Zizan Razak terharu tercalon dalam ABPBH 32


Tarikh disiarkan: 10 September 2019


Zizan Razak turut kongsi mesej yang ingin disampaikan dalam lagu terbarunya "Berserah".

10 Sep – Pelakon, pelawak dan penyanyi popular Zizan Razak terharu dan teruja apabila namanya berjaya berada dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang bakal berlangsung pada 22 September ini.

Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, tercalon dalam tiga kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Popular dan Artis Versatil Popular, manakala untuk kategori 'online' pula, dia tercalon dalam kategori Gandingan Serasi Filem.

"ABPBH 32 adalah anugerah yang berprestij dan sudah semestinya peminat perlu membuktikan kematangan mereka dengan mengundi artis yang layak.

"Kematangan dalam membuat pilihan secara tidak langsung memberi semangat kepada kami untuk terus melipatgandakan usaha dalam berkarya," ujarnya yang dipetik dari BH Online.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kejayaan lagu terbarunya berjudul "Berserah", iaitu sebuah duet bersama penyanyi Ismail Izzani, Zizan berkata ia sebuah lagu dihasilkan sebagai teguran terhadap netizen yang gemar menghukum tanpa timbang rasa.

Menurut pelakon "Polis Evo 2" itu lagi, selain memberi teguran, lagu ciptaan Alif dan Ariz ini turut mempunyai mesej positif selain menyeru orang ramai untuk terus melakukan perkara baik.

"Saya lihat, masyarakat semakin ghairah mencari silap dan salah orang lain, seterusnya menghukum tanpa belas kasihan. Mereka tidak fikir kesan perbuatan itu kepada orang lain. Apakah mereka lupa, Tuhan memberi ruang kepada setiap hamba-Nya untuk bertaubat. Itu mesej yang cuba saya ketengahkan dalam lagu ini."

(Sumber foto: Zizan Razak Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Polis Evo 2 (Melayu) (22 November 2018)
Abang Long Fadil (Melayu) (29 Mei 2014)
Mael Lambong (Melayu) (21 Jun 2012)
KL Gangster (Melayu) (9 Jun 2011)