Buletin
"J Retribusi" satukan semula Zul Ariffin dengan Ashraf Sinclair


Tarikh disiarkan: 24 Jun 2019


Watak Jay Zulkarnain yang dilakonkan oleh Zul Ariffin dalam "J Retribusi" akan diperkembangkan.

24 Jun – Pelakon Zul Ariffin akan digandingkan buat pertama kali bersama rakan lamanya, Ashraf Sinclair dalam filem aksi sekuel "J Retribusi".

Menerusi laporan yang dipetik dari KosmoOnline, kedua-dua pelakon itu telah mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun dahulu, di mana usia mereka 17 tahun.

"Saya kenal Ashraf sejak berusia 17 tahun. Sekarang saya berusia 33 tahun. Dia adalah orang terawal yang saya kenal ketika mula-mula masuk dalam industri.

"Alhamdulillah, selepas 15 tahun kenal, dapat berlakon bersama dengannya. Ibaratnya dapat berlakon sama dengan kawan lama. Peliknya sebelum ini memang tidak pernah berpeluang langsung untuk berlakon sama," ujar pelakon "Hantu Kak Limah" itu.


Zul akan kembali tampil membawa watak Jay Zulkarnain seperti dalam "J Revolusi" yang diterbitkan pada 2017. Namun kali ini, dia tidak lagi bertugas untuk Unit Tindakan Khas (UTK).

Sebaliknya, watak Jay akan lebih dikembangkan serta menjadi pengawal peribadi kepada seorang anak orang kaya.

Justeru itu, Zul telah membuat persediaan dari aspek mental dan fizikal bagi melakonkan babak aksi semasa penggambaran filem tersebut.

Menurutnya, kebanyakan babak aksi yang dilakukan adalah atas usahanya sendiri tanpa menggunakan pelakon aksi ngeri.

Dalam pada itu, Zul juga ingin menjaga kesihatan dan kecergasannya. Tambahnya lagi, dia sering ke gim dan membuat senaman kardiovaskular.

Filem "J Retribusi" turut menampilkan barisan pelakon seperti Amelia Henderson, Dato Rosyam Nor, Chen Yi Ming, Theebaan G serta pelakon cilik Ainin Batrisya.

(Sumber foto: Zul Ariffin Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: