Buletin
Zul Ariffin terpaksa berehat seketika dari dunia lakonan


Tarikh disiarkan: 18 Mac 2019


Zul Ariffin akan kembali aktif berlakon selepas keluar dari hospital.

18 Mar - Pelakon Zul Ariffin kini terpaksa berehat seketika daripada melakukan aktiviti lakonan berikutan sedang terlantar di hospital akibat bengkak di bahagian pankreas baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan oleh kakak pelakon itu iaitu Hanim Ariffin yang berkata Zul mula mengadu sakit di bahagian perut sejak beberapa minggu yang lalu.

"Sepatutnya sebelum malam gala filem "Misteri Dilaila" lagi Zul dimasukkan ke wad. Ketika itu dia sudah mengadu sakit dan saya membawanya pergi membuat pemeriksaan.

"Doktor memberitahu ada bengkak di bahagian pankreas. Jadi, dia kena juga ditahan untuk menjalani rawatan lanjut. Namun disebabkan komitmen kerja bagi menjalani promosi filem itu kami minta diberikan ubat tahan sakit.


"Ketika berada di Jakarta minggu lalu, dia mengadu sakit lagi hingga terpaksa dibawa ke hospital," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Ketika berada di hospital Zul perlu menjalani beberapa prosedur rawatan seperti melakukan pemeriksaan dengan memasukkan kamera selain perlu jalani ujian imbasan.

Sebelum ini Zul telah memuat naik foto di laman sosial Instagram miliknya yang memperlihatkannya terbaring di katil hospital dengan menulis mengenai keadaannya.

"Selepas beberapa minggu tertangguh dan mengelak jumpa doktor atas tujuan promosi filem, menghadiri acara dan 'travel', akhirnya saya di sini. Hanya untuk beberapa hari dan selepas ini semuanya akan jadi baik. InsyaAllah."

(Sumber foto: Zul Ariffin Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Misteri Dilaila (Melayu) (21 Februari 2019)
Tombiruo: Penunggu Rimba (Melayu) (12 Oktober 2017)
Penanggal (Melayu) (28 November 2013)





Ticket Pricing Guide