Buletin
Zul Ariffin perlu tambah berat badan demi "Sangkar"


Tarikh disiarkan: 23 Ogos 2019


Zul Ariffin memegang watak atlet MMA bernama Adam "The Ace" Abdullah.

23 Ogos – Pelakon Zul Ariffin mendedahkan bahawa dia perlu berlatih sedaya upaya dan memperbanyakkan makan bagi mendapatkan bentuk badan dan berat yang ideal seperti seorang atlet 'Mixed Martial Arts' (MMA) bagi filem terbarunya, "Sangkar".

Menerusi filem sukan MMA pertama di Malaysia itu, Zul digandingkan dengan pelakon Remy Ishak sebagai watak dua orang atlet MMA bernama Adam "The Ace" Abdullah dan Johan "The Jedi" Kamaruddin.

"Sebenarnya kami ingin menyeimbangkan berat badan supaya tidak terlalu berat tetapi dengan kehadiran juara MMA antarabangsa, James McSweeney, secara tidak langsung, kami berdua perlu tambah berat badan secepat mungkin supaya setanding dengan beratnya.

"Alhamdulillah, kami masih mempunyai masa selama tiga minggu sebelum bermulanya penggambaran babak perlawanan, jadi kami sempat untuk makan yang secukupnya di samping menjalani penggambaran babak lain," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media selepas tayangan perdana filem "Sangkar" di mmCineplexes Damansara pada Rabu.

Tambah Zul lagi, dia berdepan cabaran apabila perlu menjalani latihan dan penggambaran sepanjang bulan puasa serta perlu menjaga pemakanan demi menaikkan berat badannya.


"Saya hanya ada masa dua minggu sebelum saya masuk set penggambaran filem "Sangkar" kerana saya terlibat dengan penggambaran "Misteri Dilaila" di Fraser's Hill.

"Ketika itu saya tidak memikirkan tentang latihan, sebaliknya saya ingin makan sebanyak yang boleh untuk tambah berat badan kerana tahu saya ada banyak babak berlawan dan perlu menggunakan sepenuh tenaga," katanya.

Dalam pada itu, Zul berharap filem "Sangkar" dapat membawa impak yang besar terhadap industri filem tempatan selain industri sukan MMA.

Dia turut memberi penghormatan kepada semua atlet MMA yang banyak membantu dalam menjayakan aksi yang membabitkan sukan tersebut agar ia nampak meyakinkan.

Filem itu menampilkan pelakon lain seperti Mira Filzah, Aman Graseka, Carliff Carleel, Nik Adam Mika, Ray Era, Fadlan Hazim dan beberapa atlet tempatan seperti Andy Teh, Saiful Merican, Peter Davis dan Jihin Radzuan serta atlet antarabangsa, James McSweeney.

"Sangkar" bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Ogos ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Sangkar (Melayu) (29 Ogos 2019)