Tayangan filem "Ada Apa Dengan Dosa" di awalkan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Tayangan filem "Ada Apa Dengan Dosa" di awalkan

Penulis: Ashraf Nasser

Filem
Filem "Ada Apa Dengan Dosa" menjadi filem keempat yang ditayangkan di Astro First sejak PKPB.

22 Mei – Walaupun filem "Ada Apa Dengan Dosa" sepatutnya ditayangkan kira-kira tiga bulan lagi, namun susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah membuatkan pihak penerbit iaitu Pencil Pictures & Records ambil keputusan untuk tayangankan filem itu lebih awal.

Bagaimanapun filem itu tidak akan ditayangkan di pawagam kerana seluruh pawagam di Malaysia ditutup ketika ini, sebaliknya memilih untuk menayangkan filem terbaru mereka di saluran berbayar iaitu Astro First bermula 4 Jun ini.

"Sepatutnya filem ini ditayangkan di pawagam pada bulan September ini. Namun, lanjutan daripada PKPB akibat COVID-19, kita perlu mengutamakan keselamatan semua orang.

"Selaku penerbit filem, saya tidak mahu melengahkan sebuah filem yang baik serta sarat dengan mesej pengajaran untuk dipertontonkan kepada penonton di luar sana. Manusia zaman ini sering alpa dan hanyut dengan keindahan dunia sehingga lupa pahala, dosa dan tanggungjawab.

"Filem ini bukanlah untuk menghakimi sesiapa. Tetapi saya harap ia mampu menjentik hati semua yang menontonnya," ujar penerbit Dato' Normashayu Puteh dalam satu kenyataan.

Filem ini berkisarkan mengenai seorang gadis Aurora yang merupakan anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam. Bagaimanapun semuanya berubah apabila mendapat tahu asal usulnya. Dia yang tertekan dibantu oleh Khaliq yang kemudian telah berangkat ke Malaysia untuk mencari ibu dan bapa kandungnya.

Sementara itu, si ibu kandung Siti Zahrah hidup dihantui dengan dosa silam, manakala ayah kandungnya pula merupakan seorang ustaz terkenal, Ustaz Aariz yang cuba lari dari dosa lalu demi menjaga reputasinya.

Diarahkan oleh Rahila Ali, filem bergenre Islamik ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Haris Ismail, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

"Ada Apa Dengan Dosa" bukanlah filem pertamanya yang menukar tayangan filem dari pawagam ke saluran berbayar televisyen kerana sebelum ini ada dua lagi filem tempatan iaitu "Manap Karaoke" dan "Syif Malam Raya" turut mengambil pendekatan sama.

Cinema Online, 22 Mei 2020

Waktu Tayangan