Buletin
Adam Shahz kecewa dengan sikap segelintir masyarakat


Tarikh disiarkan: 24 Mac 2020


Adam Shahz harap masyarakat sedar dan patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

24 Mac – Pelakon Adam Shahz meluahkan rasa kecewa dan kesalnya terhadap sikap segelintir masyarakat Malaysia apabila tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan berikutan penularan wabak COVID-19.

Adam berkata demikian selepas dia berkhidmat secara sukarela dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Putrajaya bagi memantau dan menasihati masyarakat untuk tidak keluar dari rumah sepanjang tempoh PKP.

"Saya, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Pencetus Ummah, Taha Mohd Omar dan anggota tetap APM ditugaskan melakukan rondaan dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan bahaya COVID-19.


"Bagaimanapun, apa yang mengecewakan, masih ada masyarakat yang berdegil keluar rumah tanpa urusan penting," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pelakon "Geran" ini lagi, lebih mengecewakan apabila ada individu yang melontarkan perkataan tidak sepatutnya ketika dinasihati.

Dalam pada itu, Adam merayu kepada masyarakat supaya mendengar arahan pihak kerajaan selain memberi sokongan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam menyelamatkan nyawa tetapi tidak dihargai.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak itu.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Adam bakal muncul dengan dua buah filem terbaru berjudul "Town Mall" dan "Masterpicisan" yang dijangka akan ditayangkan pada tahun ini.

(Sumber foto: Adam Shahz Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Juvana (Melayu) (24 Januari 2013)
Town Mall (Melayu) (Undated)





Ticket Pricing Guide