Adrian Teh tak ralat filem "Pasal Kau" tak ditayangkan di pawagam | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Adrian Teh tak ralat filem "Pasal Kau" tak ditayangkan di pawagam

Penulis: Ashraf Nasser

"Pasal Kau" adalah filem romantik komedi Bahasa Melayu pertamanya.
"Pasal Kau" adalah filem romantik komedi Bahasa Melayu pertamanya.

22 Sep – Pengarah dan penerbit filem terkenal Adrian Teh tidak ralat apabila filem terbarunya iaitu "Pasal Kau" tidak ditayangkan di pawagam seperti perancangan awalnya berikutan negara dilanda pandemik COVID-19 dan percaya ada hikmah disebaliknya.

Berita gembira kemudian menyusul apabila dia dihubungi oleh pihak platform penstriman video popular Netflix yang mahu menjadikan filem romantik komedinya sebagai filem 'original' Netflix.

"Mengikut perancangan awal memang saya buat filem ini untuk tayangan di pawagam. Namun akibat COVID-19, rancangan itu terpaksa ditangguhkan seketika. Walaupun pawagam sudah dibenarkan beroperasi, tetapi ia perlu mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Bagaimanapun saya bersyukur dan gembira apabila pihak Netflix menghubungi saya dan menawarkan untuk menayangkan filem "Pasal Kau" sebagai filem 'original' Netflix," ujarnya.

Tambah Adrian, ia merupakan satu peluang yang cukup berharga buatnya kerana kini filemnya bukan sahaja boleh ditonton oleh penonton dari Malaysia, tetapi juga penonton di serata dunia.

Bercerita lanjut mengenai filem terbarunya itu, Adrian berkata idea asal filem "Pasal Kau" adalah daripada pelakon utama filem iaitu Hairul Azreen.

"Idea filem ini sebenarnya adalah idea Hairul. Ketika kami dalam penerbangan ke Jakarta untuk tayangan perdana filem "Wira" di Indonesia, Hairul memberi idea kepada saya untuk buat filem ini berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai pekerja hotel."

Selepas pulang ke tanah air, Adrian bersama penulis skrip mula menghasilkan skrip dan ia siap sepenuhnya dalam tempoh enam minggu sahaja.

"Pasal Kau" menampilkan hampir kesemua pelakon asal dari filem "Paskal The Movie" dan "Wira" serta muka baru, iaitu Janna Nick sebagai salah seorang pelakon utama.

Tujuan Adrian 'menggunakan' pelakon yang sama adalah mahu tampilkan sisi berbeza mereka yang sebelum ini berlakon dalam filem bergenre aksi kepada genre romantik komedi.

Selain Hairul Azreen dan Janna Nick, filem ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Namron, Amerul Affendi, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Theeban G, Josiah Hogan dan ramai lagi.

"Pasal Kau" akan menemui penonton di Netflix bermula 1 Oktober ini.

(Sumber foto: Adrian Teh Instagram)

Cinema Online, 22 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Wira (Melayu) (21 Nov 2019)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan