Ain Edruce umum hamil empat bulan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Ain Edruce umum hamil empat bulan

Penulis: Nisa Irina

Ain Edruce teruja bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
Ain Edruce teruja bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

30 Nov – Pelakon dan pengacara Ain Edruce mengumumkan berita gembira apabila dirinya bakal bergelar ibu tidak lama lagi.

Bagi menjawab persoalan yang bermain di fikiran orang ramai, akhirnya Ain mengesahkan dia kini hamil empat bulan menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya pada Ahad.

"Saya kini hamil. Alhamdulillah, rezeki buat saya dan suami. Bukan niat saya mahu merahsiakan perkara baik, tetapi saya tidak berani ketika kandungan masih pada peringkat awal.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan baik-baik buat saya selama ini. Syukur, saya dan suami sangat gembira kerana kami akan menimang cahaya mata tidak lama lagi," katanya.

Menerusi video itu, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, berkongsi pengalaman ketika mendapat tahu dirinya berbadan dua apabila tidak datang bulan.

Dalam video yang sama, Ain turut menyertakan beberapa rakaman ketika dia berkongsikan berita gembira itu kepada suami, Amirul Hafiz Mustaffa serta ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Terdahulu, spekulasi mengenainya sedang hamil menjadi buah mulut orang ramai apabila video TikToknya yang sedang menari menampakkan 'baby bump'.

Ain dan Amirul mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2019.

(Sumber foto: Ain Edruce Instagram)

Cinema Online, 30 Nov 2020

Waktu Tayangan