Aishwarya Rai imbas detik Shah Rukh Khan 'buang'nya dari filem | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Aishwarya Rai imbas detik Shah Rukh Khan 'buang'nya dari filem

Penulis: Nisa Irina

Hubungan persahabatan Aishwarya Rai dan Shah Rukh Khan masih dalam keadaan baik.
Hubungan persahabatan Aishwarya Rai dan Shah Rukh Khan masih dalam keadaan baik.

4 Nov – Demi menjadi dirinya yang sekarang, diva Bollywood Aishwarya Rai Bachchan perlu mengharungi pelbagai jatuh bangun sepanjang mengorak langkah dalam industri perfileman, termasuk dibuang dari filem-filem besar.

Mengimbas kembali salah satu pengalaman pahitnya, isteri kepada aktor Abhishek Bachchan itu mendedahkan raja Bollywood, Shah Rukh Khan pernah mengeluarkannya dari lima buah filem, termasuk "Veer-Zaara".

Apa yang membuatkan Aishwarya lebih terkesan adalah Shah Rukh Khan tidak mempunyai penjelasan kukuh atas tindakannya. Namun dia akhirnya memohon maaf kepada Aishwarya tidak lama kemudian.

Menerusi satu temu bual di rancangan bual bicara Simi Garewal beberapa tahun lalu, Aishwarya disoal mengenai pendapat dan perasaannya menghadapi perkara tersebut.

"Macam mana saya jawab soalan itu? Ya, memang betul kami sepatutnya akan bekerjasama dalam beberapa buah filem dan tiba-tiba perancangan itu tidak diteruskan, tanpa sebarang penjelasan.

"Saya tidak pernah menerima jawapan kepada soalan mengapa saya dikeluarkan dari filem-filem itu. Bila tiada penjelasan, sudah tentu saya terkejut, bingung dan kecewa," katanya yang dipetik dari India Times.

Sementara itu, Shah Rukh Khan dalam satu temu bual pada 2003 berkata, ia merupakan satu cabaran besar buatnya untuk memulakan projek dengan seseorang dan kemudian mengeluarkannya walaupun dia tidak membuat kesalahan.

"Ianya sangat mengecewakan kerana Ash adalah rakan baik saya. Sejujurnya, saya telah berlaku salah terhadapnya.

"Namun sebagai penerbit filem, ianya sesuatu yang boleh diterima akal. Saya telah memohon maaf kepada Ash," ujarnya.

Aishwarya dan Shah Rukh Khan telah membintangi pelbagai filem bersama seperti "Josh", "Devdas", "Mohabbatein" dan "Hum Tumh... Hain Sanam".

Kali terakhir mereka berkongsi skrin adalah menerusi filem "Ae Dil Hai Mushkil" yang ditayangkan pada 2016.

(Sumber: India Times)
(Sumber foto: IB Times)

Cinema Online, 04 Nov 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan