Zarina Anjoulie bidas artis minta bantuan khusus kerajaan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zarina Anjoulie bidas artis minta bantuan khusus kerajaan

Penulis: Nisa Irina

Zarina Anjoulie lebih selesa hidup secara bersederhana.
Zarina Anjoulie lebih selesa hidup secara bersederhana.

30 Mac – Pelakon Zarina Anjoulie tidak bersetuju dengan sikap segelintir artis tempatan yang meminta bantuan khusus daripada kerajaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sedangkan hidup dalam keadaan serba mewah.

Menurut Zarina, atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, tindakan segelintir artis yang menayang kemewahan di laman sosial tetapi tidak mempunyai perancangan masa depan adalah tidak wajar.

Menerusi video yang tular Sabtu lalu, Zarina menasihatkan para artis supaya hidup bersederhana dan jika inginkan bantuan, boleh memohon daripada Persatuan Seniman atau persatuan seni lain yang ada di Malaysia.

"Itu pilihan kau untuk beli kereta dan motor mahal. Lepas itu, mengadu tak ada duit nak makan. Kalau dah tahu macam itu, hiduplah secara bersederhana. Ini masing-masing tidak sedar diri pakai kereta mewah sehingga sanggup ikat perut dan tiada wang simpanan.

"Yang aku ini bawa Satria Neo buruk pun makan 'steak' dan udang galah setiap hari. Malah, aku dengan teman lelaki aku boleh menderma. Bukan nak riak, tetapi macam mana aku ini yang hidup sederhana dan boleh berkongsi dengan orang lain.

"Kau yang tanamkan dalam fikiran semua orang yang kau kaya raya tetapi sebenarnya tak ada apa. Kemudian apabila kena kecam, itu masalah kau. Padanlah muka kau orang artis-artis. Cuba kalau kau orang hidup sederhana, hidup macam orang biasa, tak ada orang akan kecam," tegurnya menerusi video tersebut.

Pada masa yang sama, Zarina turut menegaskan kepada rakan-rakan artis supaya berusaha mencari pendapatan sendiri dengan kerja-kerja lain seperti menjadi pemandu e-hailing atau bekerja di pasar raya.

Selain itu, Zarina turut membidas kenyataan daripada rakan-rakan artis yang bersuara bagi pihak pekerja belakang tabir serta artis veteran kerana sebelumnya pihak-pihak tersebut tidak pernah dipedulikan.

Terbaru, Zarina menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan di rumahnya serta dengan bantuan orang ramai yang turut turun padang dalam membantu usahanya itu.

"Saya tidak mengumpul sumbangan berbentuk derma tetapi apa yang saya boleh buat adalah membahagikan kerja kepada setiap pihak yang menghubungi saya untuk membantu. Jadi terima kasih banyak-banyak kepada anda semua," ujarnya menerusi video di Instagram.

(Sumber foto: Beautiful Nara)

Cinema Online, 30 Mac 2020

Filem Berkaitan:
Amir & Loqman Pergi Ke Laut (Malay) (25 Sep 2014)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan