Buletin
Alya Iman mahu cipta nama atas usaha sendiri


Tarikh disiarkan: 25 Mac 2020

Alya Iman luah hasrat untuk bawa watak antagonis pula selepas ini.
Alya Iman luah hasrat untuk bawa watak antagonis pula selepas ini.

25 Mac – Pelakon baru sedang meningkat naik, Alya Iman mengakui dia pada mulanya tidak pernah menyangka akan terjun ke dunia seni mengikut jejak langkah bapanya iaitu Allahyarham Azmil Mustapha tetapi minat terhadap dunia lakonan itu timbul selepas berada di set penggambaran.

Alya bagaimanapun berkata dia enggan menggunakan populariti arwah bapanya untuk melonjakkan namanya sebaliknya mahu cipta nama dengan usahanya sendiri.

"Tak sangka pun jadi pelakon dan tak terfikir sebelum ini. Apabila berada di lokasi penggambaran, baru minat itu timbul. Waktu babah masih ada, dia tak pernah bawa saya ke lokasi kerana ketika saya lahir, dia sudah berhijrah dan tak berlakon lagi.

"Kalau boleh saya nak berdikari dan naik dengan bakat sendiri. Saya nak buat sesuatu atau berlakon sehingga orang ingat saya. Malah, saya sanggup belajar dari bawah sehingga mampu jadi pelakon terbaik pada masa depan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.


Bercerita lanjut mengenai perjalanan kerjaya seninya, Alya bermula sebagai model peragaan pada usia 13 tahun sebelum ditawarkan berlakon buat pertama kali pada usia 17 tahun menerusi "Senafas Rindu".

Sejak dari itu, namanya terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk membintangi drama dan telefilem.

Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 19 tahun ini baru sahaja muncul dengan drama terbarunya berjudul "Bukan Kahwin Paksa" di TV3.

Tambahnya lagi, drama tersebut juga telah memberi impak positif kepada kerjaya seninya.

Sementara itu, walaupun masih 'hijau' dalam dunia lakonan namun Alya sudah bersedia untuk mencuba pelbagai watak termasuklah antagonis sekiranya diberi peluang kelak.

(Sumber foto: Alya Iman Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide