Ameesha Patel bukan pilihan utama untuk bintangi "Kaho Naa... Pyaar Hai" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Ameesha Patel bukan pilihan utama untuk bintangi "Kaho Naa... Pyaar Hai"

Penulis: Nisa Irina

 Ameesha Patel jadi pilihan kedua Rakesh Roshan untuk filemnya selepas Kareena Kapoor.
Ameesha Patel jadi pilihan kedua Rakesh Roshan untuk filemnya selepas Kareena Kapoor.

4 Jun – Penerbit dan pengarah filem klasik "Kaho Naa... Pyaar Hai" Rakesh Roshan mendedahkan bahawa aktres Ameesha Patel bukanlah pilihan pertama untuk digandingkan dengan anaknya Hrithik Roshan.

Menurut Rakesh, aktres pertama yang dihubunginya untuk menjayakan watak Sonia dalam filem itu adalah Kareena Kapoor Khan namun selepas timbul beberapa isu rumit, akhirnya dia terpaksa mengeluarkan Kareena.

Pada hari pertama penggambaran, difahamkan ibu Kareena iaitu Babita tidak mahu anaknya memulakan penggambaran dengan sebuah lagu kerana berpendapat yang Kareena masih belum bersedia.


Malah anak beranak itu dikatakan membuat pelbagai permintaan yang tidak masuk akal seperti nama Kareena perlu mendapat kredit lebih tinggi berbanding Hrithik dalam filem tersebut.

"Kareena adalah pendatang baru dalam industri filem dan sepatutnya dilayan sebegitu, dia tidak boleh memilih babak mana perlu difilemkan hanya kerana dia adalah adik Karisma.

"Babita sepatutnya bercakap dengan saya sebagai ibu pendatang baru dan tidak meminta-minta lebih daripada apa yang dia layak," tegas Rakesh yang dipetik dari Bollywood Life.

"Kaho Naa... Pyaar Hai" menandakan debut Hrithik dan Ameesha sebagai peneraju utama filem dan ia juga telah menjadi filem paling berjaya pada tahun 2000, di mana Hrithik diberi gelaran 'Hrithik Mania'.

Dalam pada itu, Ameesha juga bakal kembali berlakon menerusi filem "Desi Magic" dan "The Great Indian Casino", yang mana kedua-duanya kini dalam proses pos-produksi.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Wikimedia & Discogs)

Cinema Online, 04 Jun 2020

Waktu Tayangan