Amerul Affendi masih ditolak stesen TV kerana kurang pengikut Instagram | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Amerul Affendi masih ditolak stesen TV kerana kurang pengikut Instagram

Penulis: Nisa Irina

Biarpun kurang muncul di kaca TV, namun bakat Amerul Affendi masih dihargai para peminat.
Biarpun kurang muncul di kaca TV, namun bakat Amerul Affendi masih dihargai para peminat.

29 Jul – Pelakon Amerul Affendi sekali lagi meluahkan rasa kesal apabila masih ditolak syarikat produksi dan stesen televisyen untuk membintangi drama dan telefilem kerana kurang pengikut di Instagram.

"Instagram baru ada 100,000 pengikut. Maknanya lambat lagilah stesen TV nak ambil saya berlakon dalam produksi mereka. Sebab mereka kata 500,000 baru dipertimbangkan.

"Nak beli pengikut nanti saya rasa menipu pihak stesen televisyen pula. Bukan ke itu berdosa? Jadi apa patut saya buat?" luahnya menerusi laman Twitter miliknya.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi itu, begitulah kenyataan dan keadaan semasa yang berlaku kepada pelakon-pelakon di Malaysia jika mereka ingin terus kekal dalam industri.

Perkongsian yang kini mencecah lebih seribu tanda suka oleh Amerul itu menarik perhatian ramai peminat serta rakan-rakan selebriti seperti Adibah Noor, Sharifah Amani dan Bront Palarae.

"Patut bersyukur, bro. Tak keluar TV tetapi masih disayangi dan dihormati. Tuhan jaga mu dari noda dan goda. Jangan tergoda," tulis Bront yang pernah beberapa kali berkongsi skrin lebar bersama Amerul.

"Inilah sebab mengapa kamu semua perlu mengikut pelakon-pelakon kegemaran kamu di Instagram. Tidak cukup pengikut jadi tidak ada kerja dan tidak cukup wang untuk menyara keluarga. Ya, tak masuk akal tetapi benda ini memang terjadi.

"Amerul adalah seorang pelakon yang hebat. Pendidikan dan pengalamannya selama bertahun-tahun tidak patut dibuktikan hanya menerusi pengikut di media sosial," tegas Amani pula.

Terdahulu, pelakon filem "Bunohan" itu pernah kecewa gara-gara rupa parasnya menjadi punca dia ditolak sebuah stesen televisyen untuk membintangi sebuah drama yang akan disiarkan menerusi stesen tersebut.

Untuk rekod, bakat Amerul tidak disia-siakan apabila dia berjaya meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2015 dan Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019.

Dalam perkembangan lain, filem komedi bebas lakonan Amerul dan Namron iaitu "Mencari Rahmat", yang diarahkan oleh Al Jafree Md Yusop, bakal menemui penonton di pawagam pada 31 Disember 2020.

Selain itu, Amerul juga akan tampil dalam filem komedi romantik "Pasal Kau", sebuah 'spin-off' daripada filem "Paskal", arahan Adrian Teh yang dijangka tayang pada 2021. Filem itu turut dibintangi Hairul Azreen dan Janna Nick sebagai peneraju utama.

(Sumber foto: Amerul Affendi Instagram)

Cinema Online, 29 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Bikers Kental 2 (Melayu / Thailand) (14 Mac 2019)
Operasi X (Melayu) (01 Nov 2018)
Paskal The Movie (Melayu) (27 Sept 2018)


Waktu Tayangan