Amitabh dan Abhishek Bachchan positif COVID-19 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Amitabh dan Abhishek Bachchan positif COVID-19

Penulis: Nisa Irina

Amitabh dan Abhishek Bachchan sedang nantikan keputusan ujian keluarga mereka pula.
Amitabh dan Abhishek Bachchan sedang nantikan keputusan ujian keluarga mereka pula.

12 Jul – Bintang veteran Bollywood Amitabh Bachchan bersama anaknya yang juga aktor, Abhishek Bachchan, telah disahkan positif COVID-19 semalam dan kini mereka sedang menjalani rawatan di Hospital Nanavati, Mumbai.

Berita itu telah dikongsikan sendiri oleh Amitabh dan Abhishek menerusi entri yang dimuat naik menerusi laman Twitter masing-masing.

"T 3590 – Saya telah disahkan positif COVID-19 dan dipindahkan di hospital. Pihak hospital telah memaklumkan kepada pihak berkuasa, keluarga dan semua pekerja untuk menjalani ujian, keputusan sedang dinantikan.

"Semua yang pernah berhubung rapat dengan saya dalam tempoh 10 hari sebelumnya diminta untuk menjalani ujian!" tulis Amitabh.

Dalam pada itu, Abhishek mendedahkan kedua-dua mereka mengalami simptom-simpton ringan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, serta meminta orang ramai untuk kekal bertenang.

"Awal pagi ini (semalam) saya dan bapa saya telah disahkan positif COVID-19. Kami mengalami simptom-simptom ringan dan dimasukkan ke hospital.

"Kami telah memaklumkan kepada semua pihak berkuasa, keluarga serta pekerja-pekerja kami untuk menjalani ujian. Saya ingin minta anda semua untuk kekal bertenang dan tidak panik. Terima kasih," tulis Abhishek.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, buat masa ini, mereka masih menantikan keputusan ujian ahli keluarga Bachchan yang lain, termasuk Jaya Bachchan dan Aishwarya Rai Bachchan.

Keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan di hospital yang sama itu dijangka akan diketahui hari ini.

Rata-rata peminat dari serata dunia serta rakan-rakan selebriti Bollywood seperti Akshay Kumar, Preity Zinta, Mohanlal, Sonam Kapoor dan Dulquer Salman tampil memberi ucapan semoga cepat sembuh buat anak beranak tersebut.

(Sumber: Amitabh Bachchan & Abhishek Bachchan Twitter, Hindustan Times)
(Sumber foto: Bollyworm)

 

Cinema Online, 12 Jul 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan