Sharifah Amani bantu sebarkan kempen Save Your Seat KLPAC | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Sharifah Amani bantu sebarkan kempen Save Your Seat KLPAC

Penulis: Nisa Irina

Sharifah Amani kongsikan butiran Save Your Seat KLPAC di Twitter.
Sharifah Amani kongsikan butiran Save Your Seat KLPAC di Twitter.

22 Apr – Pelakon Sharifah Amani telah membantu pihak Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dalam menyebarkan kempen Save Your Seat KLPAC di laman sosial bagi mengumpul dana bagi pusat tersebut.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik COVID-19, pihak KLPAC terpaksa menunda dan membatalkan segala aktiviti dan persembahan di premis mereka.

"Perkara ini sangat mengecewakan. #SaveYourSeat jika anda mampu. Bantu #SaveKLPAC," tulis Amani yang lebih mesra sebagai Nani di laman Twitter semalam.

Nani turut memuat naik beberapa poster berserta sebuah video berdurasi lebih seminit yang memaparkan butiran mengenai kempen itu di Twitter.

Buat pengetahuan lanjut, ini merupakan kali pertama KLPAC ditutup sejak lebih 15 tahun ia ditubuhkan dan beroperasi. Pusat itu menerima lebih 80, 000 orang pelawat setiap tahun.

Sehubungan dengan itu, pihak KLPAC memutuskan untuk melancarkan kempen itu pada 17 April selepas melakukan beberapa perbincangan demi memastikan sumber pendapatan mereka terjaga.

"Sepanjang penutupan ini, kami tidak mempunyai persembahan, tiada penonton dan tiada sumber pendapatan.

"Walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat, akan ada beberapa sekatan dan kami jangka perkara ini akan menjejaskan perniagaan kami tahun ini," ujar pengasas KLPAC Joe Hasham di laman Facebook.

Orang ramai boleh membuat pilihan untuk menderma sebanyak RM50, RM100, RM300 atau RM1,000 mengikut tempat duduk tertentu dalam dewan Pentas 1 dan setiap penderma akan menerima sijil penghargaan.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghantar emel kepada ian@klpac.org atau yuemay@klpac.org, ataupun layari laman sesawang www.klpac.org/donations dan proticket.com.my/klpac-saveyourseat.

(Sumber foto: Sharifah Amani Twitter)

Cinema Online, 22 Apr 2020

Filem Berkaitan:
Gol Dan Gincu Vol. 2 (Melayu) (25 Okt 2018)
Pekak (Melayu) (01 Sept 2016)
SEPET (24 Feb 2005)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan