Animasi Malaysia menang besar di Anugerah Kreatif Akademi Asia 2020 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Animasi Malaysia menang besar di Anugerah Kreatif Akademi Asia 2020

Penulis: Nisa Irina

Tahniah buat semua pemenang yang mengharumkan nama Malaysia!
Tahniah buat semua pemenang yang mengharumkan nama Malaysia!
17 Okt - Kejayaan demi kejayaan digapai oleh karya animasi Malaysia apabila tiga animasi terkenal, "Ejen Ali The Movie", "Alif & Sofia" dan "BoBoiBoy Movie 2" diumumkan sebagai pemenang di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2020.

"Ejen Ali The Movie", hasil usahasama Primeworks Studios dan WAU Animation ini diiktiraf menerusi kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) untuk pengarah, Usamah Zaid Yasin.

Ini merupakan tahun kedua untuk "Ejen Ali" di Anugerah Kreatif Akademi Asia, selepas kemenangan siri TV pada tahun 2018 bagi kategori Program Animasi 3D Terbaik atau kategori Siri (Malaysia).


"Ejen Ali The Movie" kutip RM30 juta selepas ditayangkan di pawagam.
Ketua Pegawai Eksekutif Animasi WAU Usamah Zaid Yasin berkata, kemenangan ini dianggap sebagai pembakar semangat agar dapat memperkembangkan lagi animasi "Ejen Ali" buat tontonan umum.

"Kami merasa teruja dengan kemenangan ini, terima kasih diucapkan kepada panel juri Anugerah Kreatif Akademi Asia yang memilih kami.

"Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk kami mengembangkan lagi jalan cerita "Ejen Ali" kepada skala filem epik agar dapat menjangkau penonton di semua peringkat umur.

"Harapan agar visi kami untuk meletakkan animasi bukan sekadar untuk golongan kanak-kanak akan menjadi kenyataan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Primeworks Studios dan MDEC atas sokongan selama ini," katanya.

Sementara itu, siri animasi berkonsepkan Islamik, "Alif & Sofia" terbitan Primeworks Studios dan Blindspot Studios untuk saluran YouTube mengungguli kategori Program Prasekolah Terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nulhakim Othman, kemenangan ini menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan mengangkat animasi Malaysia ke peringkat lebih tinggi.


"Alif & Sofia" laris di Malaysia dan Indonesia.
"Ketika mencipta watak "Alif & Sofia", kami memikirkan bagaimana kami dapat membantu ibu bapa membimbing anak-anak dengan kandungan yang menyeronokkan.

"Prasekolah adalah tempoh peralihan yang paling formatif bagi kanak-kanak dan mencabar bagi ibubapa. Dengan kemenangan ini kami merasakan usaha kami dihargai dan ia sebagai petanda bahawa kami berada di landasan yang betul.

"Ia juga sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan mengangkat animasi negara ke peringkat lebih tinggi. Terima kasih kepada rakan-rakan di Primeworks Studios dan MDEC kerana telah menyokong usaha kami sejak hari pertama," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Studios, Nizam Razak turut meluahkan kesyukuran atas kejayaan pihaknya apabila filem "BoBoiBoy Movie 2" memenangi kategori Program Animasi Terbaik.

"Alhamdulillah. "BoBoiBoy Movie 2" memenangi Anugerah Program Animasi Terbaik - Pemenang Negara 2020, mewakili Malaysia untuk Anugerah Kreatif Akademi Asia!

"Tahniah juga pada WAU/"Ejen Ali" untuk Anugerah Arahan Terbaik - Fiksyen dan Blindspot/"Alif & Sofia" untuk Program Prasekolah Terbaik! Semoga kita semua terus maju!" ujarnya.


"BoBoiBoy Movie 2" meraih kutipan RM27.7 juta untuk tayangan di pawagam.
Anugerah Kreatif Akademi Asia adalah anugerah tahunan berprestij yang meraikan karya-karya dari Australia & New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong SAR, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Anugerah ini adalah untuk meraikan usaha industri kreatif dalam penerbitan kandungan dan produksi. Acara kemuncak AAA 2020 dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Disember 2020.

Cinema Online, 17 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Melayu) (28 Nov 2019)
BoBoiBoy Movie 2 (Melayu) (08 Ogos 2019)


Waktu Tayangan