Animasi tempatan "Monster Beach" berjaya tembusi Cartoon Network | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Animasi tempatan "Monster Beach" berjaya tembusi Cartoon Network

Penulis: Ashraf Nasser

Siri animasi "Monster Beach" adalah kolaborasi antara tiga buah negara.
Siri animasi "Monster Beach" adalah kolaborasi antara tiga buah negara.

5 Mei – Permintaan terhadap animasi Malaysia kini meningkat dengan mendadak apabila sebuah lagi siri animasi tempatan iaitu "Monster Beach" kini berjaya menembusi saluran Cartoon Network.

Animasi tersebut adalah hasil kerja studio animasi Inspedia yang mana mereka sangat teruja apabila mendapat peluang keemasan untuk menayangkan animasi ciptaan mereka kepada penonton di seluruh dunia.

"Ya, sememangnya peluang ini sangat besar makna buat kami. Sebarang projek antarabangsa yang membabitkan kami adalah peluang berharga. Meletakkan nama Malaysia di persada animasi dunia, tentunya akan membanggakan nama negara ini.

"Cartoon Network sudah menjadi pelanggan kami untuk beberapa tahun dan pada suatu hari, mereka bertanyakan jika kami mahu terbabit menerbitkan "Monster Beach". Ia idea yang sangat mengagumkan dan kami terus menyambarnya," ujar Pengarah dan Pemilik Bersama Inspidea iaitu C.J. See yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah C.J. See lagi, mereka akan memastikan hasil kerja mereka berkualiti kerana tidak mahu menghampakan Cartoon Network.

Dalam pada itu, selain menggunakan kepakaran tempatan pihaknya juga akan turut menggunakan tenaga kerja dari luar negara.

Ini kerana Inspidea adalah rakan kongsi produksi animasi "Monster Beach" yang mana ia membabitkan 120 tenaga kerja daripada artis sehingga penerbit.

Pembikinan animasi ini akan membabitkan studio animasi dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Australia dan Hong Kong.

"Monster Beach" menceritakan mengenai pengembaraan adik-beradik yang juga peluncur ombak iaitu Jan dan Dean. Ketika mereka sedang meluangkan masa di pulau Iki-Iki bersama bapa saudara mereka. Kemudian sekumpulan raksasa yang nakal dan suka berseronok muncul dan ini menambahkan keriangan mereka.

Animasi ini sudah pun mula ditayangkan setiap Sabtu jam 6.30 petang sejak 25 April lalu.

(Sumber foto: Malaymail)

Cinema Online, 05 Mei 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, Click Here
Waktu Tayangan