Uyaina Arshad lebarkan kerjaya seni dalam lakonan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Uyaina Arshad lebarkan kerjaya seni dalam lakonan

Penulis: Nisa Irina

Uyaina Arshad galas watak wanita cacat dalam drama "Jujurlah Nikahi Aku".
Uyaina Arshad galas watak wanita cacat dalam drama "Jujurlah Nikahi Aku".

28 Jan – Hampir lima tahun bergelar pengacara, kini Uyaina Arshad memberanikan diri untuk menceburi bidang lakonan sebagai langkah awal untuk memperluaskan kerjaya seninya.

Sehubungan dengan itu, Uyaina telah dipilih untuk bergandingan dengan pelakon Sean Lee menerusi drama adaptasi novel karya Umie Nadzimah berjudul "Jujurlah Nikahi Aku" arahan Rashid Sibir.

"Saya seronok bekerja dengan Sean dan semua pihak yang terbabit dalam penggambaran drama ini.

"Saya berharap drama ini menjadi petanda baik untuk kerjaya seni saya yang bukan saja aktif sebagai pengacara, tetapi dalam dunia lakonan.

"Saya harap drama ini mendapat maklum balas yang baik daripada penonton. Tambahan pula, ia sebuah naskhah yang sarat dengan mesej dan mencabar untuk dibawakan," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Menerusi drama itu, Uyaina akan memegang watak Nurin Asyifa, seorang wanita cacat yang dibenci ibunya sendiri, manakala Sean pula sebagai seorang lelaki atheist bernama Alan Wong.

Selain Uyaina dan Sean, drama yang akan bersiaran di Astro Ria itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Raja Azura, Amar Asyraf, Rita Nadira, Hamidah Wahab dan Zaidi Omar.

Untuk rekod, Uyaina merupakan bekas juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018, mengalahkan 17 peserta lain dari enam buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Turki, Brunei dan Timor Leste.

(Sumber foto: Uyaina Arshad Instagram)

Cinema Online, 28 Jan 2020

Waktu Tayangan