Azhan Rani belum sedia buat 'review' di media sosial | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Azhan Rani belum sedia buat 'review' di media sosial

Penulis: Ashraf Nasser

Azhan Rani tak tolak kemungkinan akan buat ulasan di media sosial pada masa hadapan.
Azhan Rani tak tolak kemungkinan akan buat ulasan di media sosial pada masa hadapan.

7 Ogos – Pelakon tersohor tanah air Azhan Rani memberitahu buat masa ini dia masih belum bersedia untuk membuat ulasan atau 'review' di laman sosial walaupun mengakui menerima banyak tawaran itu yang menjanjikan bayaran puluhan ribu sebulan.

"Seakan menjadi trend artis menjadi pilihan peniaga untuk mempromosi dan melariskan produk mereka. Bagaimanapun, buat masa ini, saya belum terfikir mengikut jejak langkah rakan lain. Saya tak mahu fokus lari.

"Sebolehnya untuk menjadi pelakon serius, saya perlu mengutamakan lakonan berbanding benda lain. Ia pilihan sendiri kerana berasakan tidak mampu mengawal keadaan.

"Sekiranya orang lain mampu membahagikan antara kerjaya lakonan dan membuat ulasan dalam media sosial, itu terpulanglah kepada mereka," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pelakon "Lelaki Harapan Dunia" ini lagi, dia kurang selesa apabila terpaksa membuat ulasan sewaktu sibuk di lokasi penggambaran kerana ia akan menjejaskan persembahannya di hadapan kamera kelak.

Azhan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan turut melakukan ulasan produk demi kelangsungan hidup pada masa hadapan, namun buat masa ini dia lebih selesa bergelar pelakon sahaja.

Dalam pada itu, pelakon berusia 44 tahun berkata walaupun dia dinobat sebagai Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada tahun 2019 menerusi watak Ustaz Hamidi dalam drama "Nur 1 & 2", dia masih lagi belum ada keberanian untuk anjur kelas lakonan sendiri.

Menurutnya, masih banyak perkara yang dia perlu belajar sebagai seorang pelakon dan masih banyak watak yang ingin dicuba.

Sementara itu, Azhan bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "Bikin Filem" arahan Hitler Zami yang kini sedang menunggu tarikh tayangan di pawagam.

(Sumber foto: Azhan Rani Instagram)

Cinema Online, 07 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Lelaki Harapan Dunia (Malay) (27 Nov 2014)
Anak Jantan (Malay) (30 Oct 2014)
Motif (Malay) (26 Sep 2019)


Waktu Tayangan