Aziz M. Osman beri nafas baru untuk watak Pak Jabit | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Aziz M. Osman beri nafas baru untuk watak Pak Jabit

Penulis: Nisa Irina

Peminat pasti tak sabar untuk saksikan lakonan Aziz M. Osman sebagai Pak Jabit.
Peminat pasti tak sabar untuk saksikan lakonan Aziz M. Osman sebagai Pak Jabit.

17 Nov – Sejak drama bersiri komedi "Kampong Pisang Bersiri-Siri" karya pengarah tersohor Mamat Khalid diumumkan pada Julai lalu, ternyata para peminat francais filem "Kampong Pisang" tidak sabar menantikan tayangannya tidak lama lagi.

Secara tidak langsung, siri itu akan mengembalikan semula watak-watak terkenal dari francais "Kampong Pisang" seperti Hussin, Wani dan Pak Jabit serta watak-watak baru termasuk Daud M., Manap Ikon dan Yah Kuchai.

Sehubungan dengan itu, pengarah dan pelakon terkenal Aziz M. Osman telah dipilih untuk menjayakan watak Pak Jabit yang sebelum ini dilakonkan oleh pelakon veteran Allahyarham Man Kadir.

"Watak Pak Jabit diperkenalkan oleh Mamat Khalid dalam filem francais "Kampong Pisang" terdahulu, dilakonkan oleh seniman dan wartawan Man Kadir.

"Saya mengambil alih watak tersebut setelah Man Kadir meninggal dunia. Namun begitu, watak Pak Jabit yang saya bawakan adalah interpretasi saya tanpa dibayangi versi Man Kadir," katanya kepada Cinema Online.

Walau bagaimanapun, pengarah filem "XX Ray 3" itu akui bimbang dengan penerimaan para penonton terhadap lakonannya sebagai Pak Jabit memandangkan mereka sudah biasa dengan lakonan Man Kadir.

"Cabarannya adalah penerimaan penonton pada watak Pak Jabit versi saya. Selama ini mereka telah 'kenal dan mesra' dengan Pak Jabit versi Man Kadir," katanya.

Selain Aziz, "Kampong Pisang Bersiri-Siri" turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Dato' Awie, Bell Ngasri, Kazar, Sharwani NS, Joey Daud, Dewa Sapri dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Aziz akan bekerjasama dengan Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima untuk menggarap filem mega "Juang", berkisarkan mengenai pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

(Sumber foto: Aziz M Osman Instagram)

Cinema Online, 17 Nov 2020

Filem Berkaitan:
XX-Ray 3 (Melayu) (24 Jan 2019)
Busker (Melayu) (11 Jan 2018)
Kerja Kahwin (Melayu) (20 Jul 2017)


Waktu Tayangan