Penggambaran "Bakara" ditunda ke tahun hadapan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Penggambaran "Bakara" ditunda ke tahun hadapan

Penulis: Ashraf Nasser

Adrian Teh bersama barisan pelakon utama ketika pelancaran filem
Adrian Teh bersama barisan pelakon utama ketika pelancaran filem "Bakara" yang berlangsung pada tahun lalu.

23 Sep – Apabila pengarah dan penerbit filem aksi terkenal Adrian Teh mengumumkan mengenai pembikinan filem "Bakara", ramai peminat yang teruja dan tidak sabar menanti untuk menonton kehebatan filem ketenteraan itu selepas kejayaan besar dua filem arahan Adrian sebelum ini, iaitu "Paskal The Movie" dan "Wira".

Bagaimanapun, penggambaran filem sepatutnya bermula pada Jun di Turki dan Malaysia lalu terpaksa ditunda kepada Jun tahun hadapan berikutan negara dilanda pandemik COVID-19 yang mana rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk ke luar negara.

"Pandemik yang melanda dunia kini memang memberikan cabaran dan risiko besar terhadap industri perfileman. Bagaimanapun kepercayaan dan sokongan daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Longhouse Films amat memberasangkan dan saya akan lakukan sehabis baik untuk menyempurnakan filem ini.

"Kerja-kerja persediaan yang tergendala akan disambung semula dan kami akan menyesuaikan tatacara kerja dengan norma baru pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," ujarnya Adrian yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures.

"Bakara" adalah sebuah naskhah yang diangkat dari peristiwa sebenar yang berlaku di Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 yang mana menyaksikan kehebatan dan keberanian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyelamatkan pasukan elit tentara Amerika Syarikat yang dikepung oleh ribuan pemberontak di Bakara Market.

Ia bakal dibintangi oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Bront Palarae, Hairul Azreen, Remy Ishak, Shaheizy Sam, Fauzi Nawawi dan ramai lagi.

Filem yang pada awalnya dijadualkan tayangan pada 31 Ogos 2021 berkemungkinan akan ditayangkan pada 31 Ogos 2022.

Cinema Online, 23 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Melayu) (27 Sept 2018)
Wira (Melayu) (21 Nov 2019)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan