Bella Rahim imbau pengalaman berlakon "Train To Busan: Peninsula" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bella Rahim imbau pengalaman berlakon "Train To Busan: Peninsula"

Penulis: Nisa Irina

 Bella Rahim bangga dapat memakai kostum pakaian seragam PBB yang mempunyai lambang bendera Malaysia.
Bella Rahim bangga dapat memakai kostum pakaian seragam
PBB yang mempunyai lambang bendera Malaysia.

22 Jul – Biarpun hanya menggalas watak 'cameo', namun ia merupakan pencapaian besar buat pelakon televisyen dan teater Bella Rahim apabila dipilih untuk membintangi filem Korea Selatan "Train To Busan: Peninsula".

Berpeluang untuk berkongsi skrin lebar dengan pelakon-pelakon hebat seperti Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun, pemilik nama sebenar Siti Robela Abdul Rahim itu tidak dapat menahan rasa teruja.

"Sewaktu ejen saya menghubungi mengenai tawaran itu pada Mei tahun lalu, saya tidak terlalu berharap. Ia tawaran filem yang sangat besar hinggalah secara sah saya mendapat watak itu sebelum berlepas ke sana menjayakan penggambaran selama seminggu di sekitar Daejeon dan Incheon.

"Paling seronok apabila pengarah Yeon Sang-ho serta pelakon utama Gang Dong-won dan Lee Jung-hyun melayan saya seperti sudah lama kenal saya.

"Gang Dong-won ambil tahu mengenai latar belakang saya, manakala Lee Jung-hyun selamba mengajak saya bergambar," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Seperti yang dilihat menerusi laman Instagram, Bella aktif berkongsikan beberapa foto serta video 'throwback' ketika dia terlibat dengan penggambaran ketika berada di negara tersebut.

Menerusi filem itu, Bella membawa watak Major Jane, Ketua Unit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berasal dari Malaysia dan berpeluang menggayakan pakaian seragam tentera PBB yang dibuat khas untuk wataknya.

"Anda tahu tak betapa terkejut dan terujanya Bella apabila memakai pakaian seragam yang ada lambang bendera Malaysia ini! Kalau anda tak perasan lencana Malaysia ini, sebab Bella pakai vest kalis peluru.

"Walaupun tak nampak, kumpulan yang menghasilkan kostum untuk produksi ini betul-betul mengikut pakaian seragam tentera PBB. Sangat teliti dan tak ada butiran yang tertinggal," tulisnya dalam salah satu entri yang dimuat naik di Instagram.

Baru-baru ini, Bella hadir memeriahkan malam tayangan perdana filem "Train To Busan: Peninsula" di sebuah panggung wayang di Petaling Jaya, di mana pelakon Sharifah Amani turut hadir memberi sokongan kepadanya.

"Train To Busan: Peninsula" kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Julai 2020!

(Sumber foto: Bella Rahim Instagram)

Cinema Online, 22 Jul 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan